AM

1,200 murid di Pahang terima bantuan Yayasan Taqwa MAIWP

08/12/2018 06:33 PM

KUANTAN, 8 Dis (Bernama) -- Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbang sebanyak RM199,800 bagi membantu membeli kelengkapan persekolahan 1,200 murid kurang berkemampuan di seluruh Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Zabidi Nayan berkata sumbangan itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat kepada orang ramai selaras dengan agenda pendidikan, kebajikan dan dakwah yayasan berkenaan.

“Yayasan Taqwa sentiasa menyediakan peruntukan khas kepada golongan yang memerlukan bantuan kerana kita meletakkan kebajikan kepada masyarakat sebagai agenda utama.

“Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan akan datang dan pada tahun ini, 14,000 pelajar seluruh negara akan menerima bantuan ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan berupa beg, kasut, dan pakaian sekolah pada Program Kembali Ke Sekolah di Dewan Serbaguna Taman Tas, di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Aziz Jusoh; dan Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Prof Datuk Dr Mohd Zubir Sheikh Saad.

Pada majlis berkenaan, Yayasan Taqwa turut menyumbangkan RM30,000 bagi pembinaan surau baharu Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan di sini.

Sementara itu, Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata pada tahun ini, lapan kawasan parlimen di Pahang menerima bantuan tersebut melibatkan Paya Besar, Maran, Bentong, Kuala Lipis, Kuala Krau, Jerantut, Pekan, dan Rompin.

Sementara itu, penerima bantuan tersebut, Siti Nur Ain Maisarah Fairuszlan, 10, murid kurang upaya dari Sekolah Rendah Sultan Abdullah, berkata walaupun bantuan itu dianggap kecil bagi sesetengah orang, ia amat bermakna untuk keluarganya, ditambah pula ibunya merupakan ibu tunggal.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan diterima ini kerana dapat mengurangkan beban ibu dalam menyediakan persiapan persekolahan saya dan adik pada tahun hadapan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan