AM

Pembinaan rumah ibadat baharu perlu patuhi peraturan - Exco Negeri Sembilan

03/12/2018 04:13 PM

SEREMBAN, 3 Dis (Bernama) -- Mana-mana pihak ingin membina rumah ibadat bukan Islam yang baharu seperti kuil, tokong, gereja atau Gurdwara (rumah ibadat kaum Sikh) di Negeri Sembilan perlu mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata antara peraturan itu ialah membina rumah ibadat di tanah milik mereka sendiri dan bukan di tanah milik orang lain serta perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri dan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau menjelaskan apabila pembangunan berlaku atau kawasan perumahan baharu dibuka, memang ada tempat atau rumah ibadat itu dikhusus atau dirizabkan pihak pemaju mengikut peratusan ataupun komposisi penduduk dan agama di sesuatu kawasan berkenaan.

"Contohnya, kawasan pembangunan dan perumahan di Seremban 2, Sime Darby, IJM Land dan Bandar Baru Nilai, memang ada tempat ibadat dirizabkan. Tetapi ini bukan bermakna semua pihak boleh membina rumah ibadat tersebut di situ. Pihak ingin membina rumah ibadat itu perlu membuat permohonan, dan kerajaan negeri akan menentukan mana satu rumah ibadat boleh dibina di situ.

"Jika tempat itu majoriti penduduknya masyarakat Melayu dan beragama Islam, maka sudah tentu tempat itu akan dibina masjid, dan begitulah sebaliknya mengikut majoriti kaum dan agama," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengenai kuil, tokong atau tempat ibadat lain yang sudah lama berada di sesuatu kawasan itu, beliau berkata isu tanah tempat ibadat tersebut masih belum diselesaikan sehingga kini.

Namun, beliau berkata kawasan tempat ibadat itu tidak boleh diklasifikasikan sebagai ‘tempat haram’ kerana tempat ibadat itu sudah berada di situ sejak berpuluh tahun.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak pemaju di kawasan pembangunan baharu supaya menyelesaikan isu berkenaan dengan lebih baik, antaranya merizabkan tanah sedia ada untuk tempat ibadat ataupun memberi tanah gantian untuk pembinaan tempat ibadat beserta dengan pampasan.

Mengenai tempat ibadat yang terdapat di kawasan tanah kerajaan, beliau berkata kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara itu satu per satu.

Beliau berkata isu tempat atau rumah ibadat itu adalah perkara sensitif yang perlu ditangani dengan teliti dan berhati-hati.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan