WASHINGTON, 14 Mei (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Amerika Syarikat (AS) didakwa telah mengarahkan 70 kapal komersial menukar haluan sebagai sebahagian daripada usaha menguatkuasakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) pada Khamis.
“Setakat hari ini, pasukan CENTCOM telah mengarahkan 70 kapal komersial menukar haluan dan melumpuhkan empat lagi bagi memastikan pematuhan terhadap sekatan AS ke atas Iran,” menurut kenyataan markas itu di platform X.
CENTCOM turut memaklumkan bahawa tentera AS membenarkan 15 kapal yang membawa bantuan kemanusiaan melalui laluan berkenaan.
Pada 13 April, Tentera Laut AS mula menyekat semua trafik maritim yang keluar dan masuk dari pelabuhan Iran di kedua-dua belah Selat Hormuz. Washington menegaskan bahawa kapal bukan Iran bebas belayar melalui laluan air itu selagi tidak membayar tol kepada Tehran.
Pihak berkuasa Iran belum mengumumkan pelaksanaan tol, namun telah membincangkan rancangan berkenaan.
Pada 3 Mei, Presiden AS Donald Trump mengumumkan Projek Freedom bagi membantu kapal yang terkandas di Selat Hormuz dan mahu keluar dari kawasan itu. Dua hari kemudian, Trump menangguhkan operasi berkenaan untuk melihat sama ada perjanjian damai dengan Iran dapat dicapai.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial