AM

Dapatkan pelan struktur lokasi kejadian daripada PBT antara tambahan SOP JBPM - Zuraida

05/10/2018 02:37 PM

KOTA BHARU, 5 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu mendapatkan terlebih dahulu pelan struktur lokasi yang akan dilakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) daripada pihak berkuasa tempatan supaya persediaan dapat dilakukan dengan lebih baik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pelan struktur lokasi itu amat membantu kerana penyelamat akan mengetahui keadaan permukaan lokasi sama ada landai, berbatu atau sebagainya.

"Saya punya arahan, bomba pada masa hadapan, sebelum bomba turun membuat kerja-kerja menyelamat di mana-mana tempat kena pergi ke pihak berkuasa tempatan untuk ambil pelan struktur lokasi terbabit sama ada longkang atau sungai atau longkang monsun, jadi dia tahu di bawahnya landai, ada batu, tanah berlumpur dan sebagainya, jadi mereka boleh membuat persediaan dengan lebih elok," katanya.

Zuraida, yang juga calon Naib Presiden PKR, ditemui pemberita ketika meninjau proses pemilihan PKR di Kelantan bagi memilih kepimpinan di peringkat pusat dan cabang di negeri ini, di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Beliau turut menyarankan anggota JBPM supaya tidak tergesa-gesa semasa operasi SAR dan menasihati mereka mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelakkan ditimpa musibah ketika berada di lapangan.

Perkara itu adalah tambahan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada jabatan itu dalam operasi SAR.

Beliau berkata JBPM melalui sebuah jawatankuasa khas sedang mengkaji semula SOP operasi SAR susulan enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong Rabu lepas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja lima minit berada dalam air, bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu pukul 5.00 petang hari sama (Rabu).

Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain menyebabkan semua mangsa lemas.

Ditanya mengenai elaun kritikal bagi anggota JBPM, Zuraida berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet pada Rabu hadapan bagi mempercepatkan proses pemberian elaun berkenaan.

Ini kerana elaun berkenaan perlu memandangkan tugas anggota bomba yang berdepan risiko berbahaya serta mengancam keselamatan ketika di lokasi bencana, katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan