AM

4.09 juta penduduk terjejas akibat aktiviti pembalakan di Ulu Muda – PBAPP

02/10/2018 06:35 PM

GEORGE TOWN, 2 Okt (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan bahawa 4.09 juta penduduk dari tiga negeri di wilayah utara akan terjejas akibat aktiviti pembalakan di hutan simpan Ulu Muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Jaseni Maidinsa berkata hampir 74 peratus daripada hutan hujan di Ulu Muda telah diwartakan sebagai kawasan pengeluaran kayu balak yang sepatutnya berfungsi sebagai kawasan tadahan air yang penting bagi Wilayah Utara.

Jaseni menyifatkan aktiviti pembalakan di hutan simpan Ulu Muda sebagai amat membimbangkan kerana lebih 80 peratus daripada bekalan air mentah Pulau Pinang, dan 96 peratus bekalan air mentah Kedah dan 70 peratuis bekalan air mentah Perlis diperoleh dari air hujan yang terkumpul di hutan hujan Ulu Muda.

“Bukan sahaja 4.09 juta penduduk dari ketiga-tiga negeri akan terjejas tetapi juga aktiviti ekonomi bernilai RM115 bilion akan lesap yang meliputi 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” kata beliau semasa menyampaikan syarahan umum di Universiti Terbuka Wawasan di sini hari ini.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengharamkan semua kegiatan pembalakan di Ulu Muda dan mewartakan undang-undang untuk melindungi Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air bagi Wilayah Utara dan juga memastikan perlindungan undang-undang merangkumi kawasan hutan simpan Ulu Muda yang meliputi sejumlah 163,103 hektar.

Sementara itu, Jaseni juga berharap Perak mencapai persetujuan dengan Kedah dan Pulau Pinang berhubung rancangan untuk menyalurkan air dari Sungai Perak.

Beliau berkata sumber utama air Pulau Pinang iaitu Sungai Muda, hanya mampu membekalkan permintaan Pulau Pinang untuk air sehingga 2025, oleh itu kerajaan Pulau Pinang telah berusaha untuk menyalurkan air mentah dari Sungai Perak sejak 2009 supaya Pulau Pinang mempunyai bekalan air lestari yang mampu bertahan sehingga 2050.

"Konfliknya ialah Perak mahu menjual air terawat dari Sungai Perak ke Pulau Pinang sedangkan Pulau Pinang sebaliknya mencadangkan air mentah," kata beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan