SINGAPURA, 8 Ogos (Bernama) -- BM Mobility Ltd, syarikat disenarai di Bursa Singapura, yang secara rasmi melancarkan perkhidmatan perkongsian basikal elektrik Revgo di Universiti Malaya hari ini, telah memperoleh 1,000 ahli berdaftar dan mengeluarkan 170 basikal sejak menyediakan perkhidmatan tersebut pada Julai.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, Revgo akan beroperasi di bawah UNiRIDE Ecotour Sdn Bhd, perniagaan perkongsian kereta BM Mobility yang diambil alih pada awal tahun ini.
"Khidmat kami mungkin baru dimulakan tetapi kami berharap dapat meningkatkannya dengan cepat kerana kami percaya ada permintaan untuk pengangkutan peribadi yang mesra alam dan kos efektif.
"Sambutan daripada pelajar universiti sangat menggalakkan," kata Ketua Pegawai Eksekutif UNiRIDE, Fadzili Ahmad Shiyuti.
Dengan berat sekitar 40 kilogram, basikal Revgo boleh bergerak sehingga 20 kilometer sejam dan sejauh 50 kilometer apabila dicaj sepenuhnya.
BM Mobility berkata, ia merancang memperkenalkan perkhidmatan perkongsian basikal ke universiti lain di Malaysia dan berhasrat untuk bekerjasama dengan pertubuhan seperti resort percutian dan meningkatkan pertumbuhan melalui francais.
Diasaskan pada 2015, UNiRIDE menawarkan perkhidmatan tersebut dengan kereta Perodua Axia di Universiti Malaya dan tiga universiti lain.
Syarikat ini, yang disokong Kementerian Pengajian Tinggi dan Institut Automotif Malaysia, mempunyai hak eksklusif untuk beroperasi di empat universiti yang secara kolektif mempunyai lebih suku juta pelajar.
Revgo adalah jenama kenderaan elektrik pertama syarikat itu dan platform perkongsian basikal elektrik di kampus yang pertama di Malaysia.
BM Mobility juga merupakan pembekal peralatan dan penyelesaian untuk kenderaan elektrik di China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial