POLITIK

Jangan terjebak taktik pembangkang guna media sosial burukkan kerajaan - TPM Zahid

16/03/2018 07:28 PM
TANAH MERAH, 16 Mac (Bernama) -- Rakyat diingatkan supaya tidak terjebak dengan taktik pembangkang yang menggunakan media sosial untuk memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata pembangkang menggunakan taktik baharu itu ketika persidangan  Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini, bagi menggambarkan kepada rakyat kononnya hanya mereka yang amat prihatin dengan isu-isu rakyat.

"Ketika ada soalan kepada menteri atau timbalan menteri atau soalan-soalan tambahan atau soalan-soalan lisan ketika itu mereka akan terus menyiarkan bahawa mereka amat prihatin berkaitan isu-isu nasional tanpa menyiarkan jawapan daripada menteri dan timbalan menteri terbabit iaitu mereka siar secara sebelah pihak sahaja.

Kita jangan terjebak dengan taktik pembangkang yang menggunakan media sosial dan ketika ini sesi Parlimen sedang berjalan, apa yang mereka lakukan ialah menularkan kenyataan sebelah pihak apabila menyoal menteri atau timbalan menteri atau perdana menteri bahkan saya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 orang yang hadir pada Karnival Himpunan Rakyat Tanah Merah di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 di sini, hari ini.


Turut hadir isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pembangkang juga harus menjaga Malaysia yang dalam keadaan stabil dan aman ini.

"Saya kata kita boleh berbeza pendapat, boleh berbeza pandangan tetapi keutamaan kita ialah rakyat mesti terus dijaga, negara kita mesti terus aman, ekonomi kita stabil? ertinya seluruh negara harus diutamakan bukan dihancurkan oleh perbezaan pendapat," katanya.

Beliau turut mengingatkan pembangkang supaya tidak melampaui batas walaupun dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara mempunyai kekebalan dalam menyuarakan pendapat yang berbeza.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi membaik pulih rumah, masjid, surau, rumah ibadat kaum lain dan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Parlimen Tanah Merah dan Jeli.

Beliau juga berkata sekiranya BN berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Tanah Merah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh serta mememenangi semula kerusi DUN Kemahang dan Bukit Panau, peruntukan sebanyak RM200 juta akan disediakan bagi membina Ibu Pejabat Polis Tanah Merah yang baharu.



-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan