BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 EKONOMI

SCIB Dapat Kelulusan Pemegang Saham Bagi Pelaksanaan Penjualan Bernilai RM151.19 Juta

04/05/2026 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) memperoleh kelulusan pemegang saham bagi pelaksanaan penjualan strategik dengan nilai potensi keseluruhan sebanyak RM151.19 juta pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, pakar sistem binaan berindustri (IBS) berkenaan memaklumkan cadangan itu melibatkan penjualan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam SCIB Concrete Manufacturing Sdn Bhd pada harga RM113 juta serta penjualan tujuh bidang tanah dengan nilai gabungan dipersetujui terlebih dahulu sebanyak RM38.19 juta.

"Kelulusan bersejarah ini menandakan langkah penentu dalam tetapan semula strategik SCIB yang membolehkan syarikat memanfaatkan nilai daripada perniagaan pembuatan dan aset simpanan tanahnya.

"Ia akan meletakkan semula kedudukan syarikat sebagai pemain yang lebih bertumpu dalam pembinaan serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)," menurut kenyataan itu.

Jelas SCIB, langkah penjualan ini dijangka memperkukuh lembaran imbangannya dengan ketara melalui aliran masuk tunai segera dan kecairan yang lebih baik.

Hasil daripada penjualan ini akan disalurkan untuk membiayai projek pembinaan dan EPCC yang sedang berjalan dan akan datang, menyokong inisiatif pembangunan hartanah, memperkukuh modal kerja dan mengoptimumkan struktur modal kumpulan.

Sementara itu Pengerusi Eksekutifnya Datuk Chong Loong Men berkata sokongan kukuh daripada pemegang saham mencerminkan penjajaran yang jelas mengenai hala tuju masa depan kumpulan.

"Langkah ini membolehkan kami memanfaatkan nilai yang ketara daripada perniagaan pembuatan dan simpanan tanah kami, sambil mengukuhkan kedudukan kewangan untuk mengejar peluang yang lebih besar serta lebih mampan dalam ruang pembinaan dan EPCC.

"Kami secara berkesan menetapkan semula SCIB pada asas yang lebih kukuh dan lebih fokus," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan