KAJANG, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk meminda akta sedia ada atau menggubal akta baharu bagi menangani fenomena penjualan dadah secara dalam talian yang semakin membimbangkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata isu itu telah dibincangkan secara serius dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jun lepas.
"Dalam perbincangan itu, kita telah membincangkan tentang ada keperluan yang mendesak untuk aspek itu diteliti sehingga kepada penambah baik akta sedia ada atau menggubal satu akta baharu khusus untuk menangani fenomena penjualan atau transaksi dadah secara kecil-kecilan ini dengan menggunakan medium pemasaran dalam talian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program i-DEEN Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata langkah itu perlu memandangkan trend (penjualan dadah dalam talian) semakin meningkat dan sangat berbahaya kerana bekalan dadah mudah diperoleh dan transaksi berlaku secara senyap dan tanpa dapat dikesan.
"Kerajaan sedar tentang aspek itu dan memang kita ke arah untuk menanganinya. Tugas kerajaan tentu ada aspek pembikinan undang-undang sama ada meneliti akta sedia ada untuk tujuan meminda (atau) memasukkan fasal bagi membolehkan ada kawalan dan tindakan atau keperluan untuk mengadakan undang-undang baharu," katanya.
Saifuddin Nasution berkata perkara itu perlu diteliti kerana ia melibatkan pelbagai agensi kawal selia yang berbeza.
Contohnya, isu dadah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi jika dijual melalui platform dalam talian, maka ia di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Platform jualan dalam talian lebih mudah dikesan tetapi jika penjualan dilakukan melalui media sosial membuatkan aktiviti itu sukar dikesan termasuk juga elemen penghantaran melalui syarikat kurier.
Sementara itu, beliau berkata Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mengendalikan klien serta bertugas di pusat pemulihan perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu sejajar dengan perubahan masalah dadah di negara ini.
"Isu penagihan dadah di Malaysia sudah berlarutan lebih empat dekad dan kini menyaksikan perubahan ketara daripada penggunaan dadah konvensional kepada dadah sintetik.
"Masalah dadah di negara kita ini sudah melebihi empat dekad. Kita telah lama bertarung untuk mengatasinya dan (kini) berlaku satu dinamik dari segi (jenis) dadah.
“Misalnya, 40 tahun dahulu kita tidak bercakap tentang dadah sintetik, semuanya dadah konvensional. Jadi setelah 40 tahun berlalu, dadah sintetik (semakin dominan) dalam kalangan klien yang dirawat, (maka) sudah tentu cara menguruskan mereka juga perlu berbeza,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata pegawai AADK termasuk pegawai pemulihan perlu memiliki tahap pengetahuan setanding dengan perkembangan jenis dadah yang semakin kompleks, khususnya dadah sintetik yang memberi kesan halusinasi terhadap pengguna.
Pegawai terlibat perlu memahami kesan itu secara lebih mendalam dan pada masa sama meningkatkan kemahiran untuk mengurus kes-kes penagihan secara berkesan.
Beliau berkata pegawai di pusat pemulihan berdepan klien yang rencam serta mengalami pelbagai jenis ketagihan dari segi simptom, tahap keterukan, punca dan latar belakang, justeru memerlukan pendekatan rawatan dan pemulihan yang bersesuaian dengan kerumitan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial