KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Platform jualan digital MyMall merekodkan nilai jualan sebanyak RM24.3 juta melibatkan 3,407 peniaga berdaftar setakat 31 Julai lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara dengan pertambahan nilai jualan sebanyak RM15 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
“Usahawan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) adalah digalakkan untuk mendaftar di MyMall dan menggunakan ruang pemasaran secara percuma melalui platform e-dagang ini.
“Usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini pastinya akan dapat membantu usahawan dalam menangani isu tekanan kos hidup selain dapat mengembangkan perniagaan secara dalam talian secara percuma,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang ingin tahu langkah KUSKOP untuk melindungi kepentingan usahawan daripada tekanan kos memandangkan platform e-dagang arus perdana seperti Shopee, TikTok dan Lazada telah menaikkan komisen jualan yang dikenakan terhadap penjual sejak kebelakangan ini.
Ramanan berkata KUSKOP turut melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya Program Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Penjaja Kecil (EmpowerPKK), studio TikTok Shop Live Hub yang dibangunkan bersama TikTok Malaysia dan Tekun Nasional serta konsultasi perniagaan percuma BizClinic ditawarkan Institut Keusahawan Negara (INSKEN) bagi memperkasakan usahawan.
Beliau berkata KUSKOP juga menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melindungi kepentingan usahawan PMKS.
“KPDN sedang melaksanakan kajian semakan semula perundangan e-dagang untuk memastikan kawal selia perniagaan dalam talian secara lebih holistik.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut melaksanakan kajian semula pasaran bagi ekosistem ekonomi digital di bawah akta persaingan bertujuan antaranya untuk memastikan tiada pihak yang meningkatkan kos tanpa kawalan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Lee mengenai usaha dan inisiatif perundangan untuk melindungi kepentingan usahawan PMKS oleh kerana terdapat lambakan penjual, pembekal dan penghantar langsung asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial