AM

RMK13: Sarawak Sedia Selaras Inisiatif Pembangunan Pelancongan Negeri Dengan STIZ

03/08/2025 08:13 PM

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) -- Sarawak bersedia menyelaraskan inisiatif pembangunan pelancongan negeri dengan pembangunan zon pelaburan pelancongan (STIZ), kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata Sarawak telah memiliki pelbagai produk pelancongan yang kukuh, justeru, inisiatif baharu seperti STIZ akan diteliti untuk memastikan ia boleh dimanfaatkan secara bersama.

“Jika zon pelaburan pelancongan yang disebut itu merangkumi kawasan seperti Mulu, Niah, Delta Kuching dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, maka secara tidak langsung kita (Sarawak) telah berada di landasan yang sama, cuma belum dibincangkan secara lebih lanjut.

“Kita sedia bekerjasama. Yang penting tiada pertindihan, sebaliknya saling memperkukuh usaha yang sedang dan akan dilaksanakan,” katanya diminta mengulas mengenai pembangunan STIZ dalam usaha  memperkasakan sektor pelancongan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Khamis lepas berkata kerajaan akan terus memperkasakan sektor pelancongan menerusi pembangunan STIZ, pemuliharaan aset warisan di ibu negara serta pemerkasaan industri inap desa sepanjang tempoh rancangan lima tahun itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor pelancongan kini semakin segar dengan peningkatan menakjubkan apabila perbelanjaan pelancong asing di dalam negara melonjak kepada RM102.2 bilion pada 2024.

Maka, kata Anwar inisiatif pembangunan STIZ di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan negeri lain akan ditingkatkan bersama dengan pihak swasta dan koperasi.

Abdul Karim berkata tahun ini Sarawak telah mencatat perkembangan memberangsangkan dalam sektor pelancongan dengan hampir mencapai sasaran lima juta pelancong serta hasil pelancongan melebihi RM1 bilion, sekali gus membuktikan keberkesanan strateginya.

Dalam pada itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu berkata sebarang usaha mengukuhkan sosioekomi bumiputera Sarawak perlu disesuaikan dengan ekosistem sedia ada di negeri itu agar bantuan sampai kepada golongan sasar secara berkesan.

Beliau merujuk kepada inisiatif di bawah RMK13 bagi mengukuhkan pembangunan sosioekonomi bumiputera Sarawak antaranya memperluas peluang perniagaan melalui penyediaan premis komersial dan akses kepada bantuan pembiayaan serta program latihan dan bimbingan kepada usahawan.

“Saya mengalu-alukan apa-apa usaha untuk membangunkan usahawan… tidak mengira usia. Kerajaan negeri sudah pun melaksanakan pelbagai program keusahawanan di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.

Terdahulu, berucap pada acara penutup Youth EdXchange Programme 2025 di sini, beliau berkata golongan belia merupakan aset penting negara, bukan sahaja untuk masa depan, tetapi juga masa kini.

Program dua hari itu dihadiri 60 peserta yang bertujuan menghubungkan belia tempatan dan ASEAN melalui pendidikan alam sekitar, kelestarian dan kerjasama rentas budaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan