AM

KPDN Bangun Sistem Repositori Harga Dan Bekalan Dalam RMK13 - Armizan

03/08/2025 06:09 PM

PENAMPANG, 3 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membangunkan Sistem Repositori Harga dan Bekalan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperkukuh pemantauan harga serta rantaian bekalan.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata sistem itu bakal membolehkan kerajaan menjejak pergerakan harga dan bekalan secara menyeluruh, bermula daripada peringkat pengeluar, pemborong, peruncit  hingga ke pengguna akhir.

“Dengan adanya rantaian data harga dan bekalan ini, pemantauan dapat dilakukan dengan lebih berkesan selain mengesan sebarang manipulasi oleh orang tengah yang menyebabkan kenaikan harga.

“KPDN akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam merealisasikan sistem ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kenegaraan MADANI anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di sini hari ini.

Armizan berkata sistem berkenaan bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pengurusan rantaian makanan negara, malah membolehkan pengesanan awal terhadap sebarang lonjakan harga atau manipulasi oleh pihak tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kajian terhadap faktor perbezaan harga barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan telah dimulakan tahun ini, selain pembentukan Jawatankuasa Kestabilan Harga secara berasingan bagi setiap negeri.

Katanya jawatankuasa terbabit dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, dengan tumpuan awal terhadap lima barangan utama termasuk ayam.

Beliau berkata Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membentangkan laporan awal berkaitan perbezaan harga di Sabah dan Labuan, manakala Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula bagi Sarawak. 

“UMS turut mencadangkan lima jenis barangan yang boleh ditangani dalam tempoh singkat bagi mengurangkan jurang perbezaan harga. Kita akan teliti laporan awal itu bagi merangka tindakan seterusnya pada fasa kedua kajian,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan