AM

JKNNS Keluar 5,667 Notis Kesalahan Berjumlah Lebih RM1.2 Juta

02/08/2025 07:00 PM

SEREMBAN, 2 Ogos ( Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) mengeluarkan sebanyak 5,667 notis kesalahan Seksyen 47 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dengan nilai kompaun berjumlah RM1.212 juta bermula 1 Okt 2024 hingga semalam.

Menurut kenyataan JKNNS hari ini, menerusi Operasi Selamat Paru-Paru (Op Selamat PaPa) itu sebanyak 23,944 premis  diperiksa, 23 kes dikenakan denda berjumlah RM9,030 manakala sembilan kertas siasatan dibuka untuk tindakan pendakwaan.

Pada semalam sebanyak 40 produk merokok disita dengan nilai sitaan RM673, manakala sebanyak 41 penguatkuasaan berbentuk pendidikan diberikan kepada pemilik atau wakil premis dengan edaran 133 infografik berkaitan Akta 852.

Operasi itu disertai 86 pegawai penguat kuasa JKNNS termasuk 25 anggota daripada agensi lain seperti Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam  Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

"Akta 852 memberi penekanan serius terhadap kesalahan yang memberi kesan buruk akibat amalan merokok dan penggunaan rokok elektronik atau vape yang berleluasa.

“Ini termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang menyasarkan golongan kanak-kanak serta remaja,” menurut kenyataan itu.

Penguatkuasaan berkenaan melaksanakan tindakan serta-merta terhadap pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta 852.

“Antaranya membabitkan larangan promosi produk merokok, pengiklanan dan tajaan, kawalan penjualan, pembelian dan penggunaan produk merokok khususnya rokok elektronik (vape) terhadap golongan Orang Belum Dewasa (OBD) serta pematuhan larangan merokok di kawasan larangan," menurut kenyataan itu.

JKNNS akan terus mempergiat penguatkuasaan akta berkenaan melalui operasi dan juga advokasi demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan orang awam ,khususnya generasi muda dan remaja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan