SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Rakyat di Negeri Sembilan perlu lebih peka apabila memasang Jalur Gemilang dengan memastikan kedudukan bendera berada dalam keadaan yang betul, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata pemasangan bendera yang sempurna bukan sahaja mencerminkan semangat patriotik, tetapi juga menunjukkan rasa hormat terhadap negara serta perpaduan masyarakat terutama menjelang Hari Kebangsaan.
“Kita telah merdeka 68 tahun, jangan menimbulkan kontroversi dengan adanya insiden menunjukkan pemasangan dan paparan di media sosial tidak mengikut garis panduan yang betul. Kibarkan bendera cukup sifatnya dengan penuh rasa bangga.
“Pastikan tiada Jalur Gemilang yang koyak atau lusuh. Kibarkan dengan hormat dan penuh adab kerana ini mencerminkan nilai diri kita sebagai rakyat Malaysia,” kepada ketika berucap merasmikan Program Kibarkan Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Aminuddin berkata semangat patriotik harus dihayati semua pihak dan bukan milik generasi terdahulu sahaja, dengan menganggap bahawa zaman kini tidak relevan dalam konteks semasa yang serba moden.
Beliau berkata golongan muda sebagai pewaris negara perlu diasuh dengan kefahaman sejarah dan dipupuk dengan nilai kebertanggungjawaban serta dibimbing supaya menjadi rakyat yang berani bersuara, namun kekal beradab.
Terdahulu, pada majlis itu, semua pegawai daerah di Negeri Sembilan menerima Jalur Gemilang sebagai simbolik bermulanya program kibarkan Jalur Gemilang di seluruh daerah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial