ALOR GAJAH, 31 Mei (Bernama) -- Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) berperanan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu melibatkan keperluan di peringkat akar umbi.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata WRUR yang telah dianjurkan sebanyak empat siri menunjukkan hasil apabila majoriti daripada 1,000 aduan yang diterima dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
“Menerusi WRUR, kita dapat pastikan keperluan rakyat dapat diselesaikan. Keberhasilan ini datang daripada rakyat dan untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Rauf berkata program WRUR mencakupi pelbagai aspek termasuklah pembangunan, pendidikan dan kebajikan dengan pelbagai projek dilaksanakan pada setiap siri untuk menambah baik infrastruktur, kemudahan awam, jalan raya, pengurusan risiko banjir serta saliran termasuk di kawasan pembangkang.
"WRUR DUN Lendu pula telah menyantuni 269 aduan dan daripada jumlah berkenaan, 183 isu telah diselesaikan dalam tempoh dua minggu, manakala selebihnya masih dalam tindakan.
"Ia termasuk peruntukan RM2 juta yang diumumkan bagi projek pemulihan kolam takungan banjir melibatkan kawasan Solok Duku dan Durian Daun serta beberapa kemudahan lain untuk masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata selain itu, RM1.5 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf lapang sasar dan asrama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang dijangka bermula Ogos depan.
Rauf berkata setiap aduan dan permohonan yang lebih rumit tetap tidak akan diketepikan, sebaliknya dibawa ke peringkat kerajaan negeri untuk dipantau, diteliti dan diselaraskan.
Sebanyak 145 program dilaksanakan sempena WRUR DUN Lendu yang bermula 18 Mei lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial