MAKKAH, 2 Jun (Bernama-SPA) -- Pemimpin Islam dari seluruh dunia memuji usaha kepimpinan Arab Saudi yang berdedikasi dalam memastikan kesejahteraan jemaah haji menerusi Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Program itu yang diselia oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi menyediakan penjagaan dan layanan menyeluruh kepada jemaah dari pelbagai benua, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan ibadah dilaksanakan dengan lancar.
Di Lisbon, Portugal, Pengarah Persatuan Islam, Dr Muhammad Iqbal memuji komitmen kerajaan Arab Saudi dalam memberi khidmat kepada jemaah, sambil menyatakan bahawa perkhidmatan luar biasa dan perhatian yang diberikan menunjukkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi terhadap ajaran Islam dan Dua Masjid Suci.
Pengarah Pusat Islam Uruguay, Ali Ahmed Mannan pula memuji Arab Saudi kerana memupuk hubungan agama dan budaya dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia menerusi layanan mesra serta penyusunan program yang teliti.
Di Nepal, Ketua Kesatuan Persatuan Pusat Ahl-e-Hadith, Mohammed Abdul Azeem menekankan inisiatif pendidikan Arab Saudi yang menawarkan program kesedaran dan pengajaran dalam pelbagai bahasa bagi membantu jemaah menunaikan ibadah dengan yakin.
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial