KUCHING, 29 Mei (Bernama) -- Peranan wartawan yang menjadi sumber maklumat dan berita untuk santapan ilmu serta pengetahuan rakyat dan kerajaan adalah sehebat warga pendidik dan pasukan yang menjaga keselamatan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam) Datuk Abdullah Saidol berkata wartawan bertauliah, berpengalaman dan bijak semakin ditagih untuk menghidangkan berita yang tepat, sahih serta konstruktif demi membina masyarakat berpengetahuan, berfikiran positif dan kompetitif.
“Pergorbanan dan kegigihan semua warga kerja setiap sudut dunia kewartawanan sama ada yang berpanas berhujan di lapangan atau yang bergegas di pejabat seharusnya sentiasa dihargai,” katanya kepada Bernama sempena Hari Wartawan Nasional 2025 hari ini.
Beliau berkata integriti dan maruah majoriti wartawan beretika yang benar-benar jujur untuk menyampaikan maklumat sahih dan tepat semakin tercabar apabila media alternatif sering digunakan bagi tujuan tidak baik atau dengan penciptaan naratif berita yang mengelirukan atau kurang tepat.
“Ketika dunia sedang menghadapi cabaran revolusi digitalisasi yang mempengaruhi pelbagai aspek urusan kehidupan manusia, ia juga mengubah landskap media dengan kemunculan platform media sosial serta watak baharu dalam penyampaian maklumat, cerita dan kisah, iaitu pempengaruh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial