DUNIA

Kebimbangan Terhadap Tinjauan Fiskal AS Jejaskan Dolar

30/05/2025 07:23 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Dolar AS terus mengalami tekanan berikutan kebimbangan terhadap tinjauan fiskal Amerika Syarikat (AS), termasuk hutang tinggi dan peningkatan defisit serta perbelanjaan kerajaan, selain ketegangan perdagangan dan peralihan trend pelaburan global.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kelemahan dolar ketika ini dikaitkan dengan isu yang lebih mendalam dalam ekonomi AS dan bukan hanya disebabkan oleh perubahan kadar faedah.

"Kelemahan dolar tidak banyak kaitannya dengan kadar faedah. Malah, perkaitan antara dolar dan hasil Perbendaharaan AS, yang dahulunya kukuh, kini terlebur sepenuhnya. Pelabur hilang kepercayaan terhadap dasar AS dan bimbang dengan hutang negara yang semakin meningkat," katanya kepada Bernama.

Innes berkata faktor utama penurunan dolar ialah trend peralihan pelaburan Asia daripada aset AS yang semakin ketara.

 “Asia mula menarik balik pelaburannya yang berjumlah antara US$5 trilion hingga US$7 trilion dalam Perbendaharaan AS, menunjukkan perubahan strategik bagaimana Asia melihat aset AS.

"Keyakinan Asia terhadap aset AS semakin pudar, yang menyebabkan tekanan ke atas dolar," katanya.

Innes berkata isu fiskal AS, termasuk kesan daripada langkah pemotongan cukai oleh Presiden Donald Trump berkemungkinan besar akan mengembangkan defisit AS.

"Pemotongan cukai dan peningkatan perbelanjaan di bawah dasar ini memburukkan lagi defisit dan seterusnya memberikan kesan negatif ke atas dolar," katanya.

Menurutnya, dengan perubahan yang berterusan ini, pasaran global boleh melihat perubahan dalam kekuatan mata wang yang berbeza dan apabila Asia mengurangkan pergantungannya terhadap aset AS, kita mungkin melihat mata wang seperti euro, yen dan dolar Australia menjadi lebih kukuh.

Innes berkata dengan pelbagai cabaran yang mendatang ini beliau menjangkakan trend penurunan dolar AS akan berterusan. 

“Sebarang petanda kekuatan dolar berkemungkinan hanya bagi tempoh jangka pendek. Sehingga AS membetulkan semua isu fiskalnya, penurunan dolar mungkin akan berterusan,” katanya.

 

Peralihan Mata Wang Global 

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kelemahan dolar AS sebahagian besarnya disebabkan oleh kebimbangan terhadap kedudukan fiskal AS dan peralihan global yang semakin mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS.

“Dasar populis baru-baru ini, termasuk pemotongan cukai, telah menimbulkan keraguan terhadap keupayaan Washington untuk menguruskan hutangnya yang semakin meningkat, yang menyebabkan Moody’s Ratings menurunkan penarafan kedaulatan AS daripada Aaa kepada Aa1 pada 16 Mei 2025.

"Ketika defisit semakin melebar dan hutang semakin meningkat, keyakinan terhadap keupayaan kerajaan AS untuk membayar balik (hutang) mencetuskan persoalan, yang seterusnya membawa kepada desas-desus potensi pengurangan pergantungan terhadap dolar AS," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata bahagian dolar AS dalam rizab pertukaran asing global telah merosot daripada 71 peratus pada suku pertama 1991 kepada 58 peratus pada suku ketiga 2024, menunjukkan peralihan itu walaupun secara beransur-ansur, namun benar-benar berlaku.

“Penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan, disokong oleh teknologi seperti e-dagang dan pembayaran QR, boleh mempercepatkan trend ini.

“Bagi Malaysia, ringgit dijangka mendapat manfaat secara beransur-ansur daripada kelemahan dolar,  walaupun mungkin akan berlaku turun naik,” katanya.

Beliau berkata dari 2009 hingga 2023, dolar AS menyumbang 82 peratus daripada bayaran perdagangan Malaysia.

“Namun begitu Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan rangka kerja dengan Thailand dan Indonesia, dan pertukaran mata wang dengan China, untuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan,” katanya.

Beliau berkata walaupun kadar faedah AS masih kekal sebagai faktor, namun penurunan dolar baru-baru ini menunjukkan ia lebih disebabkan oleh cabaran fiskal berbanding perubahan dasar monetari.

Mohd Afzanizam berkata BNM akan terus menyandarkan keputusan dasarnya kepada inflasi domestik dan prospek pertumbuhan, walaupun dolar AS yang lebih rendah mungkin menawarkan lebih fleksibiliti pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan