JENAYAH & MAHKAMAH

Treler Hilang Kawalan, Rempuh Pos Polis Bantuan Felda Kechau 8

17/09/2025 10:43 PM

KUANTAN, 17 Sept (Bernama) -- Sebuah treler merempuh Pos Kawalan Polis Bantuan Felda Kechau 8 di Kuala Lipis, pagi tadi, menyebabkan pemandu dan seorang anggota polis bantuan cedera.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata kejadian kira-kira 9.50 pagi itu berlaku apabila treler tanpa muatan dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Sungai Temau menuju Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pos kawalan berkenaan dan sebuah kereta.

“Rempuhan itu menyebabkan atap dan dinding pos kawalan menghempap sebuah motosikal yang berada di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat insiden itu pemandu lori bersama anggota polis bantuan berusia 23 tahun yang ketika itu berada dalam pos kawalan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.

Ismail berkata seorang lagi anggota polis bantuan berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan