AM

KPM Teliti Cadangan Tempatkan Polis Bantuan Di Sekolah Demi Keselamatan Murid

14/09/2025 03:35 PM

NIBONG TEBAL, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperhalusi pelbagai pandangan dan langkah bagi memastikan keselamatan murid, termasuk cadangan menempatkan polis bantuan serta pondok polis di sekolah bagi menangani isu buli.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua pandangan itu sedang diteliti sebelum KPM memuktamadkan tindakan yang wajar dilaksanakan dalam usaha menangani gejala buli di sekolah.

“Kita ambil kira semua pandangan ketika ini, khususnya melalui jawatankuasa reformasi keselamatan sekolah yang sedang dilaksanakan serta proses audit keselamatan.

“Kita juga sedang mengumpul pandangan menerusi sesi libat urus ‘town hall’ bersama Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Komunikasi bagi meneliti rang undang-undang anti-buli,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Pra Universiti MADANI 2025 peringkat Pulau Pinang di Dewan Pusat Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika mengulas cadangan beberapa pihak agar KPM menempatkan polis bantuan dan pondok polis di sekolah bagi membendung isu buli yang semakin membimbangkan.

Fadhlina berkata di peringkat KPM, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan murid dan warga sekolah terus terpelihara, termasuk penguatkuasaan peraturan sedia ada serta pematuhan kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Mengenai Kongres Pra Universiti MADANI itu, beliau berkata penganjurannya di peringkat negeri termasuk di Kelantan adalah hasil inisiatif serta komitmen pelajar Tingkatan Enam yang berjaya menganjurkan program tersebut dengan berkesan.

Beliau turut memaklumkan menerima usul-usul yang dibangkitkan dalam kongres peringkat negeri dan memberi jaminan untuk menelitinya secara serius, dengan sebahagian usul telah pun diluluskan antaranya cadangan penganjuran bengkel serta program akademik.

“Ini adalah kongres kedua selepas Kelantan dan ia merupakan hasil kerja keras anak-anak Tingkatan Enam yang sangat luar biasa. Kementerian menyokong penuh penganjuran ini dan akan terus membantu pelaksanaannya di peringkat kebangsaan pada tahun hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan