Di tengah-tengah kesibukan bilik berita Biro Bernama Putrajaya, hari bekerja wartawan Thivyamalini Ramalu dan Samantha Tan Chiew Tieng selalunya bermula seperti rakan setugas yang lain, iaitu menyemak tugasan pada hari itu, bergegas ke lokasi dan menyiapkan laporan berita secepat mungkin.
Thivyamalini dan Tan merupakan antara tujuh pemberita di biro itu, dan sekalipun bukan beragama Islam, kedua-duanya tidak mempunyai masalah membuat liputan berkaitan agama tersebut, khususnya ketika sambutan Aidilfitri atau Aidiladha apabila kebanyakan rakan setugas beragama Islam bercuti.
Kekal profesional dalam menjalankan tugas, mereka akan mengambil alih peranan membuat liputan tentang perayaan dan juga program-program lain yang berkaitan dengan agama serta budaya umat Islam.
Bukan sekali dua mereka perlu berkunjung ke masjid bagi membuat liputan solat sunat Aidilfitri atau acara lain, dan kesemuanya diselesaikan oleh mereka dengan baik.
Tidak setakat itu, kedua-duanya juga sudah biasa menulis laporan berita tentang isu sensitif umat Islam seperti isu halal dan sertu yang ada sesetengah umat Islam sendiri tidak begitu memahaminya.
Ringkasnya, kehadiran mereka di acara-acara sedemikian memantulkan realiti bahawa dalam menjalani kehidupan di Malaysia dengan populasinya berbilang bangsa, langkah terbaik adalah membina jambatan bukan menaikkan palang halangan.
Semangat inilah yang bergema kuat pada setiap Ogos dan September, ketika Malaysia menyambut Bulan Kebangsaan meraikan dua tarikh keramat, iaitu hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia di setiap 16 Sept.
Dalam konteks ini, pendekatan yang digunakan oleh Thivyamalini dan Tan dalam melunaskan tugasan berkaitan umat Islam, mencerminkan persefahaman yang sering dibicarakan oleh rakyat Malaysia namun jarang disaksikan.
SEMUANYA BERMULA DI RUMAH
Bagi Thivyamalini, 37, yang keluarganya bertutur dalam bahasa Tamil dan Telugu, bahasa Melayu sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupannya kerana dia hanya bercakap dalam bahasa itu dengan bapanya.
Katanya sejak kecil dia membaca akhbar berbahasa Melayu kerana ayahnya yang merupakan peminat setia akhbar itu, akan membawa pulang beberapa naskhah saban minggu untuk dibaca.
pic-4
Mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan dan kemudian pergaulan di universiti, mengukuhkan lagi penguasaan bahasa Melayunya. Justeru, ketika dia menjadi warga Bernama, bahasa bukan lagi kekangan. Namun begitu, pengetahuannya tentang budaya orang Melayu serta agama Islam masih dangkal.
Menurut Thivyamalini, bidang kewartawanan juga memberikannya keberanian untuk bertanya soalan-soalan yang mungkin tidak akan terlafaz jika dia bukan pemberita.
“Halal, haram, kafir… saya pernah bertanya pada kawan-kawan dan adakala membuat penyelidikan sendiri tentang makna perkataan-perkataan tersebut. Saya dimaklumkan kafir merujuk mereka yang tidak ada agama, bukan orang bukan Islam.
“Penjelasan itu saya ingat sampai sekarang, kerana jawapan tersebut berdiplomasi dan membantu saya menghargai cara orang Islam melihat penganut agama lain. Hal ini membuatkan saya lebih menghormati orang Islam,” ujarnya.
MENGHORMATI DAN MEMAHAMI
Akan tetapi, ada kalanya dia juga berdepan momen yang menyinggung nuraninya. Thivyamalini masih ingat satu insiden melibatkan hidangan mi kari dengan daging lembu di satu tugasannya. (Penganut Hindu tidak makan daging lembu kerana haiwan itu dianggap makhluk suci oleh agama tersebut).
“Apabila saya bangkitkan perkara itu, mereka minta saya kutip keluar daging daripada mi kari. Adakah mereka akan minta orang Islam lakukan perkara sama kalau hidangan ada daging babi? Sudah tentu tidak. Jadi, benda-benda yang nampak kecil ini sebenarnya amat penting,” luahnya.
Begitupun ada masanya dia tersentuh dengan penerimaan masyarakat Islam terhadap penganut agama lain. Misalnya ketika dia membuat liputan di Masjid Putra di sini yang memerlukannya menutup rambut dengan selendang yang disediakan oleh pihak pengurusan masjid.
pic-2
“Tidak ada seorang pun yang memberikan pandangan semacam kepada saya. Kita saling memahami. Saya tidak menukar identiti saya. Saya letak vibhuti (abu suci) di dahi tetapi saya tetap hormat agama mereka,” katanya.
Pesanan Thivyamalini bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia cukup ringkas namun mendalam: “Sebelum semangat patriotik dapat berakar, kita mesti terlebih dahulu saling memahami. Menghormati ialah perkara asas. Jangan ejek atau perlekeh. Kita semua ada kepercayaan kita dan perpaduan bermula di situ.”
Bagi Tan pula, laluannya sedikit berbeza. Satu daripada tugasan terawalnya selepas menjadi wartawan ialah membuat liputan perdana menteri menunaikan solat Jumaat. Dia masih ingat perasaan gementar yang dirasainya pada waktu itu.
“Ketika itu saya tidak pasti sama ada saya akan dibenarkan masuk (ke kawasan masjid) ataupun tidak. Saya benar-benar terasa janggal dalam persekitaran yang begitu asing,” ulas Tan, 44, menambah kehadirannya disambut baik walaupun jelas dia bukan beragama Islam.
Lama-kelamaan dia mula menghargai peluang menghadiri acara melibatkan agama dan budaya kaum lain.
“Bahagian paling menyeronokkan dalam kerjaya ini ialah peluang melihat tradisi masyarakat lain secara dekat,” katanya.
Tan juga menjelaskan pendidikan di sekolah kebangsaan sebagai penyumbang kepada kemahirannya dalam bahasa Melayu.
“Saya dihantar ke sekolah kebangsaan kerana mendiang mak saya kata sebagai rakyat Malaysia kita perlu kuasai bahasa Melayu,” tambahnya.
TONJOL SEMANGAT PATRIOTIK DALAM DIAM
Selepas mendengar kisah Thivyamalini dan Tan, penulis teringat zaman kolej ketika penulis menjalani latihan industri di sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Pulau Pinang. Satu daripada tugasan terawal penulis ialah mengikut wartawan senior ke Tokong Kek Lok Si dan kemudian Tokong Ular.
Penulis masih ingat perasaan penulis ketika itu. Rasa terpesona bukan gerun. Penulis tidak pernah sesekali berasakan akidah penulis terjejas ataupun tergugat apabila melihat penganut agama lain melakukan ritual keagamaan mereka. Sebaliknya, situasi itu meningkatkan pemahaman penulis akan maksud sebenar hidup dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa.
pic-3
Inikan Malaysia. Sebuah negara yang didiami oleh kaum Melayu, Cina, India serta pelbagai lagi dengan setiap satu memiliki kepercayaan dan tradisi sendiri.
Ada masa perbezaan antara kaum tersebut agak menggentarkan, namun jika didekati dengan keikhlasan dan rasa ingin tahu, perbezaan itulah yang menyatukan kita.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk di negara ini ialah sekitar 34.1 juta pada 2024, dengan 30.7 juta orang merupakan warganegara.
Bumiputera termasuk kaum Melayu sebagai majoriti dan komuniti peribumi, meliputi 70.4 peratus daripada jumlah penduduk, sementara Cina merangkumi 22.4 peratus, India (6.5 peratus) dan lain-lain 0.7 peratus.
Memang mudah bercakap tentang perpaduan semasa berucap atau melaung-laungkan slogan, namun untuk menzahirkannya mungkin lebih sukar. Akan tetapi, Thivyamalini dan Tan tidak ada masalah berbuat demikian.
Mereka bukan sekadar membuat liputan berita, tetapi membawakan kisah satu masyarakat kepada masyarakat lain, agar masing-masing dapat lebih mengenali.
Jika dilihat dari sudut itu, tugas mereka juga ialah satu bentuk patriotisme. Mereka tidak melaungkan slogan atau mengibarkan bendera tetapi menzahirkan semangat patriotik secara halus dan berterusan, yang seterusnya membina kepercayaan dan kefahaman merentasi jurang perbezaan.
Mungkin inilah maksud sebenar Hari kebangsaan dan Hari Malaysia - bukan setakat meraikan kemerdekaan kita tetapi mempelajari, tahun demi tahun, cara untuk menerima perbezaan masing-masing tanpa rasa takut.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial