AM

Program Negarawan Tun Abdullah Penghargaan Mendalam Kerajaan - Keluarga

16/09/2025 06:53 PM

KEPALA BATAS, 16 Sept (Bernama) -- Inisiatif penganjuran Program Mengenang Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan hari ini menunjukkan penghargaan mendalam kerajaan terhadap jasa dan sumbangan Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Adik kepada Abdullah, Datuk Mohd Tahir berkata keluarganya berterima kasih kepada kerajaan atas penganjuran program tersebut dan ia sudah pasti dapat memberi pendedahan kepada orang ramai terutama ganerasi muda mengenai abangnya yang turut mesra dengan panggilan Pak Lah.

"Kami sudah pasti gembira dan terharu dengan penganjuran program itu, dalam masa sama saya sendiri sedih kerana sentiasa merinduinya namun saya percaya inilah masa dan peluang untuk orang ramai terutama golongan muda mengenali Pak Lah yang menjadi Perdana Menteri kelima.

"Pak Lah ni dari zaman mudanya termasuk di sekolah telah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan dengan menerajui beberapa persatuan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ketika di universiti selain mudah mesra dan dikenali dalam kalangan penduduk di kawasan Permatang Bertam iaitu kampung halaman kami," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang merasmikan Program Mengenang Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan di Bertam di sini yang turut dihadiri Timbalannya K.Saraswathy.

Program istimewa yang dianjurkan Arkib Negara Malaysia bagi mengenang jasa serta sumbangan besar Tun Abdullah itu merupakan program sisipan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025).

Berkongsi lanjut, Mohd Tahir berkata beliau sendiri antara ahli keluarga yang melihat kesungguhan abangnya yang sentiasa mahu menjadikan pembangunan modal insan sebagai strategi utama untuk membangunkan serta menambah nilai keupayaan rakyat Malaysia sepanjang menjadi perdana menteri dari 2003 hingga 2009.

"Saya rasa sepanjang beliau menjadi perdana menteri walaupun dalam tempoh lima tahun, namun banyak yang Allahyarham bawakan untuk rakyat dan sejak menjadi wakil rakyat di Kepala Batas memang boleh dikatakan hidupnya untuk membantu orang ramai tanpa mengira kaum atau agama.

"Secara peribadi dan mewakili keluarga besar kami, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan sekarang ini kerana mahu menganjurkan program mengenang Pak Lah, kami semua sangat menghargai usaha tersebut," katanya.

Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lepas.

Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Allahyarham merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2013 dan Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan