KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman hari ini menyeru rakyat supaya memperlihatkan semangat perpaduan dan kebersamaan dengan bersama-sama membantu mangsa bencana yang melanda Sabah kini.
Musa dalam perutusan bersempena dengan Hari Malaysia 2025 hari ini berkata langkah itu penting supaya proses pemulihan dan pembinaan semula dapat dilaksanakan melalui semangat ketabahan dan perpaduan semua.
Beliau berkata inilah semangat gotong-royong yang telah menjadi amalan rakyat yang berbilang latar belakang sejak dahulu lagi.
“Saya dan Toh Puan (Faridah Tussin) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan berterusan di banyak kawasan di Sabah.
“Banjir besar yang berlaku bukan sahaja meragut nyawa, tetapi turut mengakibatkan kerosakan pada kediaman, perniagaan, dan infrastruktur,” katanya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan 2,468 mangsa banjir daripada 656 keluarga berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dan satu pusat pemindahan kekal (PPK) di Beaufort setakat 8 pagi. Kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lepas juga telah meragut 13 nyawa hingga hari ini.
Sementara itu, Musa turut menyeru semua pemimpin supaya mengatasi kepentingan sempit dan tidak mengejar keuntungan politik dengan menimbulkan perpecahan kaum atau agama.
Beliau berkata sebaliknya, pemimpin terlibat memberikan tumpuan kepada idea bernas dan dasar-dasar yang dapat memperkasakan rakyat serta memajukan negara secara keseluruhan.
"Pada Hari Malaysia ini, marilah kita membaharui komitmen kepada solidariti, keadilan dan kemakmuran. Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi bersama, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah," katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963 yang menyaksikan penyatuan Malaya, Sabah dan Sarawak membentuk sebuah persekutuan yang unik.
"Malaysia lahir daripada semangat perpaduan, persefahaman, dan visi bersama untuk masa depan yang lebih kukuh dan makmur," katanya sambil menekankan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi kekuatan negara.
Beliau juga menegaskan peranan signifikan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan dan pembangunan Malaysia, terutama dari segi kestabilan politik, pertumbuhan sosioekonomi, serta kepelbagaian budaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial