AM

Ahmad Zahid Gesa Operasi SAR Tumpu Keselamatan Mangsa Banjir, Tanah Runtuh Di Sabah

15/09/2025 08:11 PM

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan agensi tindak balas menumpukan kepada usaha mengesan serta mengeluarkan mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh selain menyelamatkan mangsa banjir di Sabah.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata demikian susulan keadaan banjir, tanah runtuh dan kebakaran di enam daerah di negeri itu sejak 9 Sept lepas yang semakin meruncing, selain turut menjejaskan infrastruktur dan utiliti kritikal.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), setakat 4.30 petang ini tiga lagi negeri turut terkesan dengan banjir di penghujung Monsun Barat Daya iaitu Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Di Sabah, daerah yang terkesan ialah Tawau dengan melibatkan 59 mangsa, Penampang (425), Membakut (202), Beaufort (177), Papar dan Putatan yang masing-masing masih dikemas kini, menjadikan jumlah keseluruhan 863 mangsa melibatkan 220 keluarga di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Perak, daerah Muallim merekodkan 194 mangsa banjir di dua PPS, manakala Selangor melibatkan Hulu Selangor (29) dan Hulu Langat (24) dengan jumlah keseluruhan 53 mangsa. Negeri Sembilan pula mencatatkan 50 mangsa di Port Dickson.

Ahmad Zahid berkata satu Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah telah diadakan hari ini, dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong dan dihadiri Ketua Pengarah NADMA, ketua-ketua jabatan serta pegawai daerah bagi menyelaras tindakan segera membantu mangsa bencana.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memberi tumpuan kepada kerja baik pulih infrastruktur di Jalan Penampang-Tambunan dengan kerjasama syarikat konsesi berikutan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan laluan utama. 

“Usaha pembersihan runtuhan, penstabilan cerun dan pembaikan segera sedang dipergiat dengan sasaran membuka semula laluan dua hala penuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah turut melaksanakan kerja pembersihan dan mitigasi bagi mengurangkan risiko limpahan air, manakala Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) diarahkan menyambung semula bekalan elektrik yang terjejas. 

Jabatan Air Sabah pula bersama kontraktor melaksanakan langkah segera memulihkan bekalan air bersih kepada penduduk.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana.

“Antara bantuan yang dihulurkan ialah makanan sedia dimakan, barangan keperluan harian, selimut, tilam, bantal serta bantuan logistik lain. Usaha ini secara tidak langsung membantu meringankan beban mangsa yang terjejas dan menyokong kelancaran operasi bantuan di kawasan bencana,” katanya.

Beliau mendoakan agar semua negeri yang ditimpa musibah banjir segera pulih dan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata NADMA sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) diminta terus memantau segala usaha daripada pihak kerajaan dan NGO bagi memastikan kelangsungan hidup mangsa selepas bencana banjir.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bersedia dengan beg kecemasan, segera berpindah ke PPS yang disediakan apabila diarahkan, pergi ke kawasan tinggi dan selamat serta tidak membiarkan kanak-kanak bermain air di kawasan banjir, longkang, lombong, badan air dan sungai.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyentuh peralatan elektrik, kabel atau wayar ketika banjir,” katanya menambah NDCC yang beroperasi 24 jam setiap hari akan terus memantau situasi cuaca dan menyalurkan amaran bencana kepada agensi tindak balas serta pegawai daerah dari semasa ke semasa.

Untuk mendapatkan laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, orang ramai boleh layari portal rasmi NADMA menerusi www.portalbencana.nadma.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan