Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
DOHA, 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kumpulan flotila yang membawa bantuan kemanusiaan dalam pelayaran ke Gaza diberi laluan selamat serta tidak dihalang atau diserang.
Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di sini, hari ini, Anwar menegaskan bahawa flotila itu bukan membawa senjata, sebaliknya membawa harapan bantuan kepada penduduk Gaza yang sedang dikepung.
“Ini ialah misi kemanusiaan dan kita mesti melakukan segala yang termampu bagi memastikan ia sampai ke destinasi.
Jika ia dihalang dengan keganasan, ia bermakna kita mengkhianati amanah nurani kita untuk mempertahankan golongan lemah, melindungi yang tertindas serta memberi makanan kepada yang kelaparan,” katanya.
Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini sedang merentasi Laut Mediterranean, membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan menuju ke pesisir Gaza.
Misi berkenaan melibatkan lebih 50 kapal dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara, bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan berupa makanan dan ubat-ubatan ke wilayah yang dikepung itu.
Anwar merupakan penaung Sumud Nusantara, salah satu kumpulan yang menyertai misi berkenaan dan menghimpunkan kapal serta sukarelawan dari seluruh dunia.
Malaysia turut diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana.
Pada 10 Sept lepas, kapal induk Family diserang dron ketika berlabuh di Sidi Bou Said, Tunisia, disusuli serangan terhadap kapal Alma pada malam Selasa.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden itu.
Sabtu lepas, koresponden Anadolu melaporkan konvoi awal kapal GSF berlepas dari Pelabuhan Bizerte di Tunisia menuju ke Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial