JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai Imigresen Simpan RM1.5 Juta Dalam Tabung Haji, ASB

15/09/2025 03:00 PM

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Seorang pegawai Jabatan Imigresen dikesan menyimpan kira-kira RM1.5 juta dalam akaun miliknya serta keluarga hasil serbuan Op Rentas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut hantaran menerusi akaun rasmi TikTok SPRM, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai lebih RM1 juta dalam akaun Tabung Haji atas nama dirinya, isteri dan anak-anak, manakala lebih RM400,000 disimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Selain itu, SPRM turut merampas barang kemas bernilai anggaran RM60,000 serta wang tunai RM13,900 daripada suspek berkenaan.

Dalam operasi sama, SPRM Kuala Lumpur merampas wang tunai berjumlah RM150,000, termasuk RM125,000 yang ditemukan di atas bumbung rumah seorang pegawai wanita, selain barangan kemas bernilai RM15,000.

Seorang lagi suspek wanita pula dikesan menyimpan barang kemas bernilai RM80,000 serta wang tunai RM41,470 dan 13,300 baht.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata ketiga-tiga suspek dipercayai bersekongkol dengan sindiket counter setting, dan disyaki menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

“Op Rentas telah dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak Selasa lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan