PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia komited untuk memperkukuh bantuan teknikal, mempercepat saluran komunikasi, berkongsi amalan baik serta memastikan aset yang dipulihkan digunakan untuk manfaat bersama, sejajar dengan prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Norhaizam Muhammad berkata demikian ketika menjadi panelis dalam sesi perbincangan mengenai Bantuan Teknikal dalam Kerjasama Antarabangsa dan Pemulihan Aset di persidangan antarabangsa UNCAC di Vienna, Austria, dari 1 hingga 5 Sept lepas.
Beliau berkata persidangan kali ini menumpukan kepada fasa seterusnya iaitu Mekanisme Ulasan Pelaksanaan UNCAC, khususnya Bab IV mengenai Kerjasama Antarabangsa dan Bab V mengenai Pemulihan Aset.
“Pelbagai topik turut diketengahkan termasuk amalan baik dan cabaran dalam maklumat pemilikan benefisial, alternatif kepada penguatkuasaan tradisional melalui pendekatan inovatif seperti ‘illicit enrichment’ (peningkatan kekayaan secara tidak sah), bantuan kehakiman bukan jenayah dan litigasi sivil.
“Isu lain yang turut dibincangkan ialah rasuah melibatkan kumpulan jenayah terancang, penafian perlindungan kepada pelaku rasuah serta pencegahan rasuah dalam dasar imigresen, pelaburan dan perlindungan pelarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhaizam berkata SPRM turut berkongsi pengalaman Malaysia menerusi kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang menjadi pemangkin kepada pembaharuan strategi membanteras rasuah rentas sempadan.
Menurutnya pasukan petugas khas melibatkan SPRM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan digerakkan untuk menyelaras siasatan, tindakan undang-undang serta kerjasama dengan pelbagai negara.
Beliau berkata pendekatan dua peringkat iaitu secara tidak formal dan formal melalui Bantuan Perundangan Bersama, penggunaan risikan kewangan, analisis pemilikan benefisial serta sokongan rangkaian antarabangsa seperti INTERPOL, Egmont Group, International Anti-Corruption Coordination Centre, GlobE Network dan StAR Initiative, telah mempercepat proses siasatan dan pemulihan aset dalam kes tersebut.
“Sehingga Mei 2025, SPRM telah berjaya memulangkan sejumlah aset bernilai RM29.79 bilion, iaitu 70 peratus daripada jumlah dana yang diselewengkan dalam kes 1MDB kepada kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial