Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
DOHA, 14 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam, yang akan disertai pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin.
Pesawat khas membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada 9.30 malam Ahad waktu tempatan (2.30 pagi Isnin waktu Malaysia).
Perdana Menteri menghadiri sidang kemuncak luar biasa itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini membabitkan serangan Israel terhadap negara itu.
Sejurus tiba Perdana Menteri menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri dan disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani.
Turut hadir Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali.
Delegasi Perdana Menteri disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar.
Terdahulu, pesawat membawa Anwar dan delegasi berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pada 7 malam waktu Malaysia.
Pada sidang kemuncak luar biasa itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara bagi menegaskan pendirian tegas Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia terancam sekiranya Israel terus mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan penyertaan Perdana Menteri dalam persidangan berkenaan menunjukkan sokongan penuh dan solidariti terhadap Qatar, selain kesinambungan usaha Malaysia mempertahankan hak rakyat Palestin serta mengecam kekejaman dan keganasan Israel.
Menurut kenyataan itu, satu resolusi yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara anggota dalam menangani perkembangan tersebut dijangka diluluskan pada sidang kemuncak berkenaan.
Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam itu didahului dengan Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam awal Ahad (14 Sept).
Persidangan itu antara lain akan membincangkan perkembangan mutakhir di Gaza, Palestin dan serangan ganas Zionis ke atas wilayah berkenaan yang sebelum ini disifatkan Anwar sebagai amat melampau.
Menurut laporan media antarabangsa, sidang kemuncak itu diadakan bagi membincangkan serangan Zionis ke atas Doha pada 9 Sept lepas yang didakwa menyasarkan kepimpinan politik Hamas yang ketika itu bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza disokong Amerika Syarikat.
Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, mengorbankan enam orang termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial