AM

Pantai Tanjung Bidara Bakal Berwajah Baharu Tahun Depan - Ab Rauf

14/09/2025 06:34 PM

ALOR GAJAH, 14 Sept (Bernama) -- Pantai Tanjung Bidara bakal berwajah baharu tahun depan dengan pelbagai penambahbaikan bagi menjadikannya destinasi pelancongan unggul, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang dirancang termasuk meluaskan kawasan parkir, mewujudkan lebih banyak ruang niaga serta menambah tarikan baharu bagi keselesaan dan kepuasan pengunjung.

“Dengan wajah baharu ini, kita yakin Pantai Tanjung Bidara akan menjadi daya tarikan pelancongan utama negeri. Insya-Allah, pesta pantai ini juga akan dijadikan program tahunan yang lebih besar dan tersusun pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ab Rauf berkata kawasan pantai itu turut mempunyai tarikan baharu, iaitu litar kereta kawalan jauh (RC) bernilai RM500,000 yang siap dibina tiga minggu lepas dan telah menarik minat pelancong dari luar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pesta pantai selama tiga hari bermula 12 Sept lepas berjaya menarik lebih 25,000 pengunjung dengan lebih 40 program dianjurkan.

"Ia termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan raja dan ratu Dondang Sayang, pertandingan permainan tradisional serta pameran kerjaya oleh agensi keselamatan.

"Kejayaan penganjuran kali kedua ini membuktikan sinergi semua pihak, termasuk agensi keselamatan dan komuniti setempat dalam menjadikan Pantai Tanjung Bidara bukan sekadar lokasi riadah tetapi juga pusat warisan seni dan budaya Melayu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan