KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Insiden tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang dekat sini telah menyebabkan tiang menara penghantaran Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) tergelincir dan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah semalam.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata hampir 230,000 pengguna terkesan akibat kejadian itu dan daerah terputus bekalan elektrik termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.
Beliau berkata pasukan Sabah Electricity bekerja 24 jam tanpa henti untuk melakukan kerja-kerja baik pulih segera.
“Kerja-kerja terlibat antaranya pintasan bekalan, pemasangan menara kecemasan dalam tempoh lapan hari sebagai langkah jangka pendek dan seterusnya pembinaan menara kekal.
“Kerajaan negeri amat memahami kesulitan yang dihadapi rakyat ketika ini. Marilah kita terus satukan hati dan berdoa sebagai rakyat Sabah supaya semuanya dapat dipermudahkan terutama sekali bagi mereka yang dilanda musibah ketika ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Sabah Electricity memberitahu beberapa daerah di Pantai Timur Sabah terputus bekalan elektrik susulan gangguan talian penghantaran 275KV Kolopis-Segaliud membabitkan talian 1 dan talian 2, dan gangguan dikesan berlaku pada 5.05 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial