AM

Naik Taraf Bakal Kurangkan Kesesakan Di Hospital Bukit Mertajam

14/09/2025 04:17 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Sept (Bernama) -- Hospital Bukit Mertajam (HBM) bakal dinaik taraf bagi mengatasi masalah kesesakan di fasiliti kesihatan yang berusia 135 tahun itu.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan kajian terperinci melibatkan reka bentuk, kos serta pelan pembangunan sebelum keputusan dimuktamadkan.

“HBM kini menghadapi masalah kesesakan, bukan sahaja melibatkan pesakit dan pelawat, tetapi juga kenderaan kerana kekurangan tempat letak kereta, justeru KKM bersama kerajaan negeri dan pihak hospital sedang merancang untuk menaik taraf hospital ini. 

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan tanah seluas lapan ekar di BM Rest House bertentangan dengan hospital ini, sekiranya ia dilihat sesuai untuk tujuan penaiktarafan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Prasarana Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan Komuniti Hospital HBM di sini hari ini.

Bagaimanapun, Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata perancangan pembangunan termasuk jenis blok yang akan dibina dan perkhidmatan bakal ditempatkan masih bergantung kepada keputusan KKM.

Sim memaklumkan HBM mempunyai 242 katil dan dengan naik taraf itu, jumlah katil dapat digandakan bagi memberikan perkhidmatan lebih baik dan selesa kepada penduduk Bukit Mertajam serta kawasan sekitar.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad minggu depan bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan dan memohon supaya proses perancangan serta reka bentuk dipercepat. 

Terdahulu, Sim meninjau kemudahan tandas baharu di hospital berkenaan yang dibangunkan hasil sumbangan RM200,000 oleh pejabatnya.

Kemudahan itu turut menjadi antara faktor utama dalam penilaian yang membawa kepada penganugerahan HBM sebagai penerima Anugerah Emas bagi Hospital Paling Lestari di Hospital Management Asia (HMA) 2025 yang berlangsung di Ho Chi Minh City, Vietnam, 11 Sept lepas.

“Hospital ini antara yang paling lama bertahan di rantau ini dan bukan mudah untuk menerapkan unsur kelestarian, namun hasil usaha mereka berjaya sebagai contoh, melaksanakan pengurangan tenaga sebanyak hampir 11 peratus serta serta pengurangan karbon kira-kira 350 tan setahun. 

“Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah menjimatkan kos operasi hampir RM250,000 setahun,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan