EKONOMI

Malaysia, New Zealand Meterai MRA Mudahkan Prosedur Kastam Bagi Pengeksport

10/09/2025 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia dan New Zealand hari ini memeterai Pengaturan Pengiktirafan Bersama (MRA) yang membolehkan kedua-dua negara saling mengiktiraf program pengendali ekonomi yang diiktiraf (AEO).

Langkah itu akan membantu kalangan pengeksport yang memenuhi kriteria keselamatan diiktiraf global untuk menjalani prosedur kastam yang dipermudah.

MRA itu ditandatangani Ketua Eksekutif dan Pegawai Perkhidmatan Kastam New Zealand Christine Stevenson dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin di  Auckland.

Stevenson berkata pemeteraian itu merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam hubungan perdagangan New Zealand dengan rakan utama di rantau Indo-Pasifik.

“Pengaturan ini berasaskan perjanjian perdagangan komprehensif yang telah sedia ada bersama-sama dengan Malaysia dan akan membantu merancakkan perniagaan antara negara  kita. MRA ini akan membantu melancarkan aliran pergerakan barangan antara kedua-dua sempadan negara tanpa menjejaskan piawaian keselamatan tinggi kami.

“Pedagang yang diiktiraf akan menjalani prosedur kastam yang lebih lancar dan pantas, pengurangan kerenah birokrasi serta kos di samping jaminan bahawa barangan mereka akan sampai ke pasaran dengan cepat dan selamat,” katanya dalam kenyataan media di laman sesawang Perkhidmatan Kastam New Zealand hari ini.

Sementara itu, Anis Rizana berkata pemeteraian itu merupakan pencapaian penting Malaysia memandangkannya adalah MRA pertama negara di rantau Oceania.

“MRA itu mula diusahakan pada 2021 dan berjaya dimuktamadkan tahun ini sekali gus mencerminkan kepercayaan serta keyakinan bersama terhadap sistem masing-masing. Ini membuka laluan untuk kesalinghubungan dan kerjasama yang lebih erat di seluruh rantau Asia Pasifik.

“Pencapaian ini menunjukkan komitmen bersama kita dalam memudah cara perdagangan yang selamat dan efisien, di samping memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serantau,” katanya.

Menurut kenyataan itu, New Zealand telah pun mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia, dan mengikut FTA itu, tarif ke atas 99.5 peratus eksport New Zealand ke Malaysia telah dihapuskan.

Pada 2024, perdagangan barangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah NZ$3.96 bilion.

Malaysia merupakan rakan dagang ke-10 terbesar New Zealand dan destinasi pasaran utama bagi produk tenusu, biri-biri serta daging lembu negara itu.

Dalam rangka lawatan ke New Zealand dari 8 hingga 11 September, Anis Rizana bersama pegawai kanan JKDM turut melawat beberapa lokasi Kastam di Auckland termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, Pusat Penyelarasan dan Operasi Bersepadu serta Pusat Pemprosesan Auckland yang baharu dibuka untuk mel antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan