AM

Jerayawara Tribunal Anti-Buli Bermula Esok - Fahmi

10/09/2025 06:32 PM

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Siri jerayawara bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan penubuhan Tribunal Anti-Buli akan bermula esok, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli, akan mengelola siri jerayawara di Putrajaya itu.

“Saya akan hadir dan juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Mereka yang terlibat termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), guru-guru di negeri, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru di pelbagai peringkat.

“Turut serta Suruhanjaya Kanak-Kanak, agensi kerajaan, pengamal undang-undang dan kaunselor sekolah dan ia terbuka kepada orang ramai,” katanya pada sidang media Pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata siri jerayawara itu juga akan diadakan di negeri lain termasuk Negeri Sembilan pada 17 Sept, Selangor (18 Sept), Johor (19 Sept) dan Melaka pada 22 Sept.

“Mengenai tarikh dan maklumat tepat mengenai lokasi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan terbitkan maklumat dalam masa yang terdekat,” katanya.

Fahmi sebelum ini berkata siri jerayawara akan diadakan di seluruh negara, bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan penubuhan Tribunal Anti-Buli, dalam usaha memastikan Malaysia mempunyai mekanisme pencegahan buli yang mantap, adil dan berkesan.

BHEUU menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan, penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli antara cadangan diteliti pada Mesyuarat Mengenai Usaha-Usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia.

Mesyuarat itu itu turut meneliti aspek memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada dengan memasukkan elemen pemulihan dan perlindungan kanak-kanak bagi memastikan sistem perundangan diamalkan tidak hanya berfokus kepada aspek penghukuman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan