AM

MARA Lahirkan 442 Teknousahawan Dengan Jualan Terkumpul Lebih RM120 Juta

10/09/2025 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya melahirkan 442 teknousahawan dengan jualan terkumpul RM120.8 juta menerusi program Diploma Teknousahawan di Institut Kemahiran MARA (IKM) sejak 2016 hingga Julai lepas.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata ia merangkumi bidang seperti elektrik, fesyen, fabrik, perabot, landskap dan penyaman udara.

“Pelajar diwajibkan mendaftar perniagaan dan nilai jualan dijadikan pengukur pencapaian yang berbeza dengan penilaian akademik perdana.

“Sebagai contoh di bawah bidang elektrik di IKM Seberang Perai Utara, 28 usahawan telah mencapai nilai jualan keseluruhan berjumlah RM45.1 juta serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada 121 orang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang ingin tahu keyakinan kerajaan sama ada pendidikan MARA mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing dalam industri, tetapi menjadi pencipta dan usahawan teknologi.

Sementara itu, Rubiah berkata MARA memperuntukkan RM50 juta menerusi Tabung Khas Pendidikan bagi menaik taraf Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan mengatasi cabaran infrastruktur usang.

Beliau berkata ia bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan internet benda (IoT).

Rubiah berkata MARA turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkukuh fasiliti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), di samping memperkenalkan pembelajaran digital, pendekatan fleksibel serta konsep "Teaching Factory".

Beliau menjawab soalan asal Nik Mohamad Abduh mengenai langkah yang diambil bagi memastikan institusi pendidikan di bawah MARA terus melahirkan graduan menepati permintaan industri berteknologi tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan