KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Ringgit diunjurkan mengukuh kepada 4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini, disokong oleh kestabilan makroekonomi Malaysia, pembaharuan yang sedang dilaksanakan serta peralihan pelabur daripada aset AS, menurut Kenanga Investment Bank (IB) Bhd.
Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu menjelaskan Malaysia terus menawarkan peluang terpilih, disokong oleh penghantaran balik pendapatan korporat walaupun pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Julai telah mengecilkan jurang hasil sebenar dan melemahkan sedikit tarikan terhadap bon.
Deposit pertukaran mata wang asing mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM292.8 bilion pada Julai, manakala program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (QRI) oleh BNM telah mewujudkan insentif yang lebih kukuh untuk syarikat yang menukar pegangan masing-masing, tambahnya.
“Dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan datang, dolar AS dijangka melemah disebabkan kebimbangan fiskal dan pelonggaran dasar oleh Rizab Persekutuan AS, walaupun kenaikan semula dalam masa terdekat mungkin berlaku apabila kedudukan pasaran kembali normal.
“Ini membuka peluang bagi penyertaan dalam aset pasaran yang sedang pesat membangun, dengan Malaysia menonjol sebagai pasaran yang didorong pembaharuan,” menurut Kenanga IB.
Kenanga IB memaklumkan BNM dijangka meneruskan pendirian dasar monetarinya dan mengekalkan ruang bagi menghadapi kejutan pada masa hadapan.
Perkara itu akan disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, dengan sektor perlombongan dijangka pulih dan sektor perkhidmatan terus berkembang stabil, sekali gus mengimbangi kelemahan luaran, jelas bank pelaburan itu.
“Berasaskan pertumbuhan yang stabil dan inflasi boleh urus, kadar dasar semasa pada 2.75 peratus kekal sesuai. Pengurangan kadar itu dilihat tidak diperlukan selagi permintaan domestik kekal kukuh, walaupun BNM akan terus bergantung kepada data,” tambahnya.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu mengingatkan risiko inflasi semakin meningkat selepas permulaan tahun yang sederhana, dengan kesan tertangguh daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan, pembaharuan subsidi serta kenaikan gaji minimum berkemungkinan mendorong harga meningkat.
“Oleh itu, ketiadaan permintaan berlebihan, peningkatan kapasiti penawaran dan sokongan fiskal bersasar dijangka dapat mengekang tekanan harga,” jelas Kenanga IB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial