KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia menggesa ASEAN untuk mengambil langkah berani dalam mempertingkatkan kesalingoperasian, memperluas latihan (exercise) bersama dan mengukuhkan rangka kerja operasi untuk rondaan maritim, memerangi keganasan, pertahanan siber dan bantuan bencana.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata kerjasama dalam bidang itu akan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat ASEAN dan mendesak negara anggota untuk bukan sahaja mengesahkan semula perjanjian sedia ada tetapi juga meneroka saluran kerjasama baharu.
"Sesetengah isu rumit, malah sensitif, namun mengelaknya tidak akan menghilangkannya (isu). Dengan menangani isu terbabit secara terbuka dan rasa hormat, kita memperkukuh kepercayaan yang membolehkan kita menghadapi masa depan dengan penuh yakin," katanya dalam ucapan perasmian pada Mesyuarat Ketua-Ketua Angkatan Pertahanan ASEAN (ACDFM) ke-22 di sini hari ini.
Beliau berkata ACDFM telah matang kepada menjadi sebuah platform yang dipercayai untuk membina persefahaman dan mengeratkan kerjasama dalam kalangan angkatan tentera.
Katanya rantau ini berdepan peningkatan permintaan terhadap angkatan tenteranya justeru memerlukan pertimbangan yang kukuh, pandangan jauh berstrategi dan tindakan tegas.
"Asas (kerjasama) telah kukuh namun sudah tiba masanya untuk memberikan lebih kepentingan pada hubungan yang telah kita bina," katanya.
Mohd Nizam berkata ACDFM tahun ini menandakan satu langkah ke hadapan dalam perpaduan, kemajuan dan keselamatan kolektif rantau ini.
“Pemimpin pertahanan harus diingatkan bukan sahaja untuk bertindak balas terhadap krisis tetapi untuk menjangkakannya, bukan hanya menjaga sempadan malah untuk menjalin kerjasama dan bukan untuk mengejar kuasa tetapi untuk mencapai tujuan.
"Saya telah melihat profesionalisme dan dedikasi yang mentakrifkan komuniti tentera ASEAN kita, saya juga telah melihat betapa rapuhnya keamanan, betapa cepatnya kestabilan boleh diuji dan bagaimana rasa selesa dan berpuas hati boleh mengundang bencana," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial