DUNIA

Lapangan Terbang Antarabangsa Techo Di Kemboja Mula Beroperasi

09/09/2025 03:32 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 9 Sept (Bernama) -- Kemboja melancarkan projek infrastruktur berprestij bernilai RM6 bilion (US$1.5 bilion) iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Techo, dengan operasi penerbangan bermula Selasa, menandakan pencapaian penting dalam pembangunan kesalinghubungan serantau.

Terletak di Wilayah Kandal, kira-kira 20 kilometer dari Phnom Penh, lapangan terbang moden kelas 4F itu direka untuk menampung pesawat seperti Airbus A380 dan Boeing 747-8.

“Pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Techo merupakan detik bersejarah dalam penambahbaikan infrastruktur dan peningkatan ekonomi Kemboja.

“Projek ini sejajar dengan aspirasi Kemboja untuk menjadi pemangkin pertumbuhan di sub rantau yang menghubungkan ASEAN dengan rantau Asia Pasifik dan dunia,” kata Ahli Ekonomi Politik dan Kolumnis, Dr Darin Duch kepada Bernama.

Pihak berkuasa memilih 9 Sept, yang dianggap nombor bertuah dalam zodiak Cina dan bertepatan dengan hari kedua perayaan agama tradisional Khmer, Pchum Ben bagi memulakan operasi lapangan terbang itu.

Lapangan terbang antarabangsa berkenaan akan dirasmikan pada 20 Okt.

Mulai Selasa, Terminal 1 beroperasi sepenuhnya dengan menyediakan perkhidmatan penerbangan untuk penumpang domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh yang menjadi pintu masuk utama ke Kemboja sejak 1950-an ditutup serta-merta.

Pengendali lapangan terbang itu menetapkan sasaran tinggi: Fasa 1 menyasarkan kapasiti 13 juta penumpang, Fasa 2 bagi 30 juta, dan Fasa 3 direka untuk menampung 50 juta penumpang.

“Kemboja giat memperluas dan menaik taraf lapangan terbang antarabangsa bagi memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan terutamanya untuk pelancong yang berkunjung ke Kemboja,” kata Perdana Menteri Hun Manet dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Lapangan Terbang Antarabangsa Techo bakal menjadi mercu baharu dalam rangkaian infrastruktur utama kerajaan – daripada pelabuhan laut ke lebuh raya dan jambatan – yang dibangunkan untuk memacu ekonomi Kemboja.

Projek infrastruktur itu bertujuan menjadikan Kemboja negara berpendapatan menengah atas menjelang 2030 dan seterusnya mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2050, di samping mempersiapkan negara itu keluar daripada status Negara Kurang Maju (LDC) menjelang 2029.

“Lapangan terbang ini akan memberi lonjakan langsung kepada sektor pelancongan, pengangkutan dan pembuatan – semuanya komponen kritikal pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya optimis lebih banyak penerbangan terus dan kesalinghubungan yang lebih baik akan membolehkan Kemboja menarik lebih ramai pelancong dan berorientasikan perniagaan,” kata Darin.

Dua tahun lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap-Angkor bernilai RM4.63 bilion (US$1.1 bilion) mula beroperasi di bandar pelancongan terkenal Siem Reap, dengan kapasiti tujuh juta penumpang setahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan