MELAKA, 9 Sept (Bernama) -- ASEAN perlu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) generatif dan memperkukuh perkongsian data dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata gangguan global dan kemunculan teknologi baharu mengubah maksud keselamatan dengan pantas, apabila penjenayah mengeksploitasi platform digital, mata wang kripto dan AI bagi memperluas operasi mereka merentasi sempadan.
“Kita semua tahu teknologi AI generatif menjadi pemangkin untuk mencapai sebahagian daripada matlamat yang saya sebutkan tadi. Namun, teknologi ini hanya berkesan jika kita mempunyai data yang tepat dan mencukupi.
“Itulah sebabnya perkongsian data menjadi keutamaan sekiranya kita mahu bekerjasama menghentikan jenayah rentas sempadan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata perbincangan mengenai keselamatan masa depan ASEAN juga perlu merangkumi isu sensitif tetapi penting, termasuklah pemudahcaraaan perkongsian data rentas sempadan.
Merujuk kajian McKinsey pada Januari 2025, beliau menekankan bahawa tenaga kerja kini semakin bersedia menerima integrasi AI, dan kepimpinan perlu tampil menerajui perubahan ini.
“Kita mesti menjadi pemimpin itu,” katanya.
Saifuddin Nasution turut menggariskan empat keutamaan ASEAN iaitu memperkukuh usaha memerangi penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia, menubuhkan Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) Kumpulan Kerja mengenai Pengubahan Wang Haram, memuktamadkan Program Kerja SOMTC 2026-2028 serta merangka Pelan Tindakan ASEAN Memerangi Jenayah Rentas Sempadan 2026-2035.
Beliau berkata perpaduan ASEAN kini perlu disertai dengan keberanian untuk menghadapi ancaman baharu, mengemas kini sistem lama dan membuat keputusan berani bagi melindungi maruah serta keselamatan 680 juta penduduk rantau ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan Mesyuarat AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.
Mesyuarat yang berlangsung dari 8 hingga 12 Sept itu menjadikan Melaka sebagai hab serantau bagi perbincangan mengenai kerjasama keselamatan dan pencegahan jenayah rentas sempadan.
AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan berlangsung bersempena Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan komitmen negara membina komuniti ASEAN yang lebih selamat serta makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial