KUCHING, 3 Sept (Bernama) -- Institusi pengajian tinggi, i-CATS University College hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Boeing untuk memperkukuh pengajian penerbangan dan pembangunan bakat di Sarawak.
Pemeteraian MoU itu juga melambangkan pencapaian penting dalam visi negeri Sarawak untuk menjadi hab serantau bagi industri aeroangkasa dan teknologi tinggi.
Menurut i-CATS, kerjasama itu susulan daripada pelancaran program kejuruteraan aeroangkasa, baru-baru ini, dan bersedia untuk menawarkan pelajar dengan pendedahan peluang industri dan akademik yang lebih meluas serta jaringan pada peringkat global.
Di bawah MoU itu, kolej berkenaan akan melibatkan pakar Boeing dalam bengkel industri, sesi ceramah dan pertandingan anjuran Kelab Pelajar Aeroangkasa i-CATS.
“Perkongsian itu juga akan menyokong kaedah dan cara penyampaian kerja kursus dan pendidikan eksekutif yang menumpukan kepada penerbangan mampan, pengurusan rantaian bekalan, dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
“Selain itu, ia akan mengenal pasti kerjasama berpotensi dengan pemain industri dan institusi akademik antarabangsa bagi menggalakkan peluang penyelidikan untuk pelajar prasiswazah dan pascasiswazah,” menurut kenyataan berkenaan.
Presiden Boeing Asia Tenggara Penny Burtt berkata syarikat itu komited menyokong visi Sarawak untuk membangunkan ekosistem aeroangkasa yang kukuh dan mampan.
“Menawarkan pelajar i-CATS dengan sumber STEM dan peluang pembangunan sememangnya diperlukan bagi menyemai inspirasi dan memperbanyak tenaga kerja penerbangan Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor i-CATS University College Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen institusi itu dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.
“Kerjasama dengan Boeing itu mencerminkan dedikasi kami dalam membimbing generasi baharu profesional aeroangkasa yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah dilengkapi inovasi serta kemahiran bagi merealisasikan aspirasi teknologi tinggi di Sarawak.
“Bersama-sama kita meletakkan asas untuk Sarawak muncul sebagai hab pendidikan dan penyelidikan aeroangkasa yang berdaya saing di rantau ini,” katanya.
Menurut i-CATS, kerjasama itu juga dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pemain utama dalam sektor aeroangkasa sekali gus menyokong matlamat Malaysia untuk memperkasakan industri penerbangan dan teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial