AM

Alliance Bank Jalin Kerjasama Perkukuh Inisiatif Pembedahan Global

03/09/2025 03:45 PM

KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Berhad bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) bagi memperkukuh Inisiatif Pembedahan Global (GSI), inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyediakan akses kepada rawatan pembedahan yang selamat dan mampu milik, di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di Malaysia.

Alliance Bank dalam kenyataan memaklumkan sejak 2019, KKM telah menerajui agenda Pembedahan Global dengan melaksanakan rangka kerja melalui kerjasama antara hospital daerah dengan pusat pakar.

Pada 2023, Persatuan Pakar Bius Malaysia, dengan sokongan KKM dan SJMC, membawakan profesional penjagaan kesihatan swasta untuk bekerjasama dengan sistem kesihatan awam.

Kerjasama ini pada mulanya memberikan tumpuan pada prosedur perubatan kritikal di Hospital Sri Aman II di Sarawak, menandakan inisiatif CSR kerjasama awam–swasta yang pertama seumpamanya. Pada 2025, misi itu diperluas ke Keningau, Sabah, dengan sokongan Alliance Bank membolehkan pasukan SJMC menyempurnakan 13 prosedur pembedahan pada 7 hingga 8 Julai di Hospital Keningau.

Pasukan SJMC terdiri daripada tiga pakar bedah, seorang pakar bius dan tiga jururawat, bekerjasama dengan petugas Hospital Keningau untuk memberikan rawatan yang mengubah kehidupan.

"Kami berbesar hati dapat memainkan peranan dalam memajukan GSI, satu usaha yang sejajar dengan keyakinan kami terhadap pertumbuhan inklusif dan akses saksama kepada perkhidmatan penting. Sebagai Bank For Life, kami mengiktiraf impak positif besar GSI terhadap masyarakat tempatan," kata Ketua Pegawai Kumpulan Alliance Bank Kellee Kam.

Bendahari Negeri Sabah Datuk Mary Angela Sipaun memuji penyertaan Alliance Bank, sambil menekankan bahawa penglibatan korporat dalam pelaburan komuniti memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan negara dan pembangunan mampan.

"Hal ini akan menggalakkan lebih banyak organisasi menyokong GSI kerana kerjasama awam–swasta memastikan agihan manfaat pembangunan yang saksama kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Pasukan perubatan SJMC terdiri daripada Dr Gunalan Palari Arumugam (Pakar Perunding Bius), Dr Haritharan Thamutaram (Pakar Perunding Am dan Pakar Bedah Hepatobiliari), Dr Liew Ngoh Chin (Pakar Perunding Am dan Pakar Bedah Vaskular), serta Dr Pok Eng Hong (Pakar Perunding Am dan Pakar Bedah Gastrointestinal Atas).

Pasukan jururawat pula diketuai oleh Angie Ng Pei Shee (Pentadbir Perkhidmatan Bilik Bedah), bersama dengan jururawat Chin Li Thung dan Muhammad Nazrul.

Dr Gunalan, yang aktif menyertai GSI sejak misi pertama di Sarawak, menyifatkan inisiatif itu sangat berbaloi dan beliau berbesar hati dapat bekerja bersama-sama rakan sekerja yang berdedikasi untuk memberikan rawatan penting. Beliau menyokong peluasan program ini untuk mencapai lebih ramai komuniti dan memastikan akses penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk semua.

 Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SJMC Bryan Lin, pusat perubatan itu berbangga dapat menyertai inisiatif bermakna ini kerana dapat memperluas akses pembedahan penting kepada komuniti yang amat memerlukan.

"Kami berterima kasih kepada rakan kami atas dedikasi mereka serta pasukan Hospital Keningau atas usaha penyelarasan," katanya dan menambah bersempena dengan ulang tahun ke-40 SJMC dalam Transforming Care, inisiatif ini mencerminkan komitmen mereka untuk berkhidmat di luar kawasan perkhidmatan terdekat.

Sementara itu, seorang penerima manfaat yang dikenali sebagai Rizwan, 30, pemandu lori dari Keningau yang menjalani dialisis sejak didiagnosis mengalami kegagalan buah pinggang pada 2024, menjalani pembedahan pemasangan kateter untuk beralih kepada Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis, membolehkannya menerima rawatan di rumah. Sebagai bapa kepada dua anak kecil, langkah ini memberikan harapan baharu kepada kesihatannya.

Bagi pesakit yang dikenali sebagai Lina, 43, dari Nabawan, dia mengalami kesakitan perut yang teruk sebelum disahkan menghidap batu karang pada Mac 2025. Sebelum ini, pembedahannya tertangguh kerana komplikasi dan dijadualkan dilakukan pada September ini, namun di bawah GSI, pembedahan itu telah berjaya dilakukan lebih awal. 

"Saya berasa lega, gembira dan berharap kesakitan ini tidak berulang. Saya bersyukur pembedahan berjaya. Semoga para doktor diberkati dalam pembedahan akan datang, dan saya berharap lebih banyak program sebegini diadakan untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Misi ini membuktikan kekuatan kerjasama antara sektor awam, penyedia penjagaan kesihatan swasta dan komuniti perniagaan. Dengan inisiatif seperti GSI, Alliance Bank kekal komited dalam mencipta impak jangka panjang kepada komuniti, selaras dengan matlamat kemampanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan