AM

Dialog APEC Mengenai Budaya Dan Industri Kreatif Teroka Peluang AI, Digital

27/08/2025 02:11 PM

Daripada Farhana Poniman

GYEONGJU, 27 Ogos  (Bernama) -- Menteri dan pegawai kanan daripada negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) hari ini memulakan Dialog Peringkat Tinggi mengenai Budaya dan Industri Kreatif (CCI) yang pertama di sini, dengan tumpuan terhadap kerjasama dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam ucapan pembukaan, Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan Chae Hwi-Young berkata AI merupakan pemangkin yang amat berkuasa bagi industri kreatif kerana ia membantu mempercepatkan penghasilan kandungan seperti video dan sari kata berbilang bahasa.

Beliau berkata ini menjadikan kandungan budaha dan kreatif lebih mudah diakses serta dinikmati oleh penonton seluruh dunia, sekali gus meningkatkan penggunaan global serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbunan ekonomi sektor itu.

“Budaya dan industri kreatif  muncul sebagai sektor inovatif yang melangkaui ekspresi seni kerana ia turut merangsang dalam mewujudkan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Biro Hal Ehwal Kebudayaan Antarabangsa kementerian berkenaan, Kim Hyun Jun berkata dialog tersebut akan menjadi titik permulaan bagi pertukaran dan kerjasama dalam industri kreatif di rantau APEC. 

“Kami berharapa ini menandakan peluang bagi Korea Selatan untuk membuat lonjakan besar sebagai negara yang menerajui masa depan industri kreatif dengan menggabungkan budaya dan teknologi,” katanya.

Turut hadir mewakili Malaysia ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, dialog tiga hari itu menghimpunkan kira-kira 150 delegasi termasuk menteri kebudayaan, pemerhati rasmi APEC, artis dan cendikiawan dari 21 negara anggota kerjasama ekonomi berkenaan. 

Bertemakan "CCI: Horizon Baharu untuk Kemakmuran", dialog itu merupakan acara pendahulu kepada Sidang Kemuncak APEC pada Oktober ini, yang juga akan berlangsung di Gyeongju dengan tema utama “Membina Masa Depan Mampan: Berhubung, Berinovasi, Kemakmuran.”

Dialog yang bermula hari ini akan menampilkan tiga sesi iaitu “Horizon Baharu Kerjasama Ekonomi APEC: CCI”, “Perubahan dalam CCI dipacu oleh Inovasi Digital dan AI", serta “Pembangunan Harmoni Komuniti APEC melalui Kerjasama Budaya". 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan