PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) yang bakal berlangsung di ibu negara September ini akan menekankan kepentingan kerjasama strategik merentas disiplin dalam menangani cabaran global berkaitan krisis bekalan makanan, susulan impak pemanasan global dan perubahan iklim yang semakin ketara.
Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian Ir. Yuslina Mohd Sani berkata forum berkenaan, yang dianjurkan setiap tiga tahun, merupakan wadah penting untuk perkongsian dasar, amalan terbaik, inovasi dan teknologi terkini dalam bidang pengairan serta sistem saliran pertanian yang menjadi antara elemen utama mempengaruhi keterjaminan makanan sesebuah negara.
“Selain itu kita akan membangunkan kerjasama dan hubungan antara pelbagai institusi, organisasi kebangsaan dan antarabangsa dan sektor swasta yang terlibat dalam bidang pengairan, sistem saliran pertanian dan keterjaminan makanan.
“Ia juga akan merangsang sektor pelancongan dan ekonomi negara melalui kehadiran peserta antarabangsa di samping mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik,” katanya dalam wawancara khas bersempena penganjuran WIF4 baru-baru ini.
Dengan tema Is Irrigation a Sunset Industry?, WIF4 akan berlangsung selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Sept di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dengan sasaran kehadiran kira-kira 500 peserta tempatan dan antarabangsa.
Ditanya mengenai pengisian sepanjang seminggu forum itu, beliau berkata WIF4 menyediakan ruang terbuka kepada komuniti pengairan global dan profesional pembangunan untuk mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan krisis pengurusan sumber air dan peningkatan populasi.
“Selain pembentangan kertas saintifik, satu daripada agenda utama WIF4 adalah Mesyuarat High-Level Advisory Group (HLAG) Kali Ke-3 yang akan berlangsung pada 8 Sept.
“Mesyuarat ini akan menghimpunkan Menteri Pertanian dan Sumber Air serta pengurusan tertinggi negara anggota The International Commission on Irrigation and Drainage (ICID). Tujuan utama mesyuarat adalah mewujudkan persekitaran dasar yang mampu menangani impak perubahan iklim serta peningkatan permintaan sumber air melalui penggunaan sistem pengairan dan pengurusan air yang cekap,” katanya.
ICID merupakan organisasi antarabangsa profesional tanpa keuntungan (not-for-profit) yang menerajui kepakaran saintifik dan teknikal dalam bidang pengairan, saliran dan pengurusan banjir, bagi menjayakan pengurusan air pertanian yang mampan.
Ia juga berperanan sebagai platform rangkaian pakar global dalam pengurusan pengairan dan saliran pertanian. Matlamat ICID selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) ke arah keterjaminan makanan melalui pengurusan lestari, disokong teknologi moden selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Malaysia menyertai ICID sejak 1958 melalui Jawatankuasa Kebangsaan Malaysia bagi Pengairan dan Saliran (MANCID) yang diterajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Yuslina yang juga Pengerusi MANCID berkata persidangan kali ini turut disertai pelbagai acara sampingan termasuk bengkel, sesi dialog dan libat urus oleh lebih 10 kumpulan kerja (working groups) di bawah ICID.
Antaranya termasuk Women Empowerment in Water Management (WEWM), Sustainable Coastal Environment Regeneration (SCER) dan Water-Food-Energy Nexus (WFEN).
Beliau berkata program lawatan teknikal ke empat lokasi turut dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai sistem pengurusan pengairan dan saliran pertanian, pengurusan banjir serta penyelidikan berkaitan di Malaysia.
“Selain itu, kita juga menyediakan sesi lawatan kepada peserta pengiring ke destinasi menarik dan bersejarah seperti KLCC, Melaka dan Genting Highlands bagi memperkenalkan Malaysia kepada peserta antarabangsa,” katanya.
Mengulas mengenai tema WIF4, beliau berkata fokus diberikan kepada kemampanan sektor pengairan dan pertanian yang relevan dan signifikan, mengambil kira kepentingan pembangunan sektor pengairan dan pertanian untuk membolehkan negara anggota ICID mencapai matlamat dan objektif keterjaminan makanan.
“Fokus turut diberikan dalam memperluaskan penggunaan teknologi moden seperti automasi, sistem pengurusan air pintar, atau teknik pertanian tanpa tanah (soilless agriculture) menggantikan kebergantungan kepada sistem pengairan tradisional dan memartabatkan sektor pengairan sebagai cabang utama dalam mencapai keterjaminan makanan negara,” kata Yuslina.
Beliau turut memaklumkan 76th International Executive Council (IEC) Meeting of ICID akan diadakan bersekali dengan WIF4 iaitu pada 13 Sept, yang bakal dihadiri Presiden ICID Dr Marco Arcieri dan delegasi dari negara anggota ICID.
Bagi menggalakkan penyertaan, Yuslina berkata promosi diskaun yuran penyertaan 20 peratus dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini.
Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.wif4.org, hubungi 016-226 8467 atau e-mel ke wif4.org@gmail.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial