KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk buah-buahan import dijangka mampu menjana pertambahan hasil sebanyak RM38 juta setahun bermula 2026, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Isnin, MOF berkata semakan semula kadar cukai jualan dan peluasan cukai perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 dijangka mampu menjana pertambahan hasil sebanyak RM10 bilion setahun bermula tahun 2026.
“Langkah semakan semula kadar SST dilaksanakan antara lainnya bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara di samping mempromosi dan menyokong industri buah tempatan.
“Namun begitu, kerajaan telah mengambil kira maklum balas rakyat dan menyemak semula kadar untuk mengecualikan buah import terpilih seperti epal, oren, kurma dan limau mandarin, dimana keputusan ini diambil untuk memastikan akses yang terjamin kepada makanan yang berkhasiat dan lazim dimakan, terutamanya bagi golongan rentan,” kata kementerian itu.
Kementerian berkenaan berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu jangkaan pengutipan hasil daripada perluasan SST yang mula dikuatkuasa pada 1 Julai ini khususnya kutipan untuk buah-buahan import.
Mengulas lanjut, MOF berkata peluasan SST dilakukan secara bersasar dan memastikan kemudahan dan pengecualian tertentu diberikan sebagai langkah mitigasi bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil serta ditanggung oleh pihak yang berkemampuan sahaja.
Sementara itu, kementerian itu berkata kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana pendapatan rakyat secara amnya masih rendah untuk dikenakan cukai GST yang bersifat meluas.
Ia berkata pelaksanaan SST dapat memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan berbanding langkah memperkenalkan semula GST, kerana ia memerlukan tempoh masa persediaan yang lebih panjang iaitu sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat untuk bersedia mengemas kini sistem bagi menghadapi GST.
“Selain itu, SST juga dilihat lebih progresif berbanding pelaksanaan semula GST kerana struktur dan pelaksanaan peluasan SST ini yang dibuat secara bersasar, yang mana barang dan perkhidmatan yang lazimnya digunakan oleh majoriti rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai,” kata MOF.
Kementerian itu berkata demikian ketika menjelaskan pertanyaan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN- Ayer Hitam) yang ingin tahu mengapa kerajaan tidak memperkenalkan semula sistem GST.
Ia turut memaklumkan selepas langkah semakan kadar cukai jualan dilaksanakan mulai 1 Julai 2025, jumlah barang yang dikecualikan atau berkadar sifar peratus adalah sebanyak 1,826 barang.
“Jumlah ini adalah lebih besar berbanding dengan jumlah barang yang berkadar sifar peratus di bawah GST sebelum GST dimansuhkan pada tahun 2018 iaitu sebanyak 607 barang.
“Peluasan skop cukai perkhidmatan pula telah melibatkan pengenaan cukai perkhidmatan ke atas 70 peratus daripada bilangan perkhidmatan yang tersenarai di bawah kod Malaysia Standard Industrial Classification, berbanding 76 peratus skop kenaan cukai di bawah GST,” kata kementerian itu lagi.
Menurut MOF, jumlah pengecualian barangan yang lebih banyak dan peratus skop perkhidmatan yang lebih rendah di bawah SST berbanding GST menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat di samping memastikan kemampanan fiskal negara yang lebih kukuh selaras dengan teras kerangka Ekonomi MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial