AM

Gempa Bumi: Semua Infrastruktur Awam Tidak Terjejas - Exco

25/08/2025 06:04 PM

JOHOR BAHRU, 25 Ogos (Bernama) -- Semua infrastruktur awam termasuk jalan, jambatan serta empangan di Johor dilaporkan stabil dan terkawal susulan gempa bumi lemah berukuran 4.1 skala Richter yang berlaku pada pagi semalam di Segamat. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pemantauan awal telah dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di radius lima kilometer dari pusat gegaran dilaporkan.

“Pemantauan awal dilakukan di infrastruktur jalan dan jambatan manakala pemeriksaan melibatkan 47 jambatan di jalan negeri serta 14 jambatan dan 10 jejantas di jalan persekutuan.

“Tiga empangan utama turut disahkan selamat iaitu Empangan Bekok di Segamat, Empangan Sembrong di Batu Pahat dan Empangan Machap di Kluang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata JKR Johor akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan berterusan terhadap semua jambatan, jejantas dan jalan raya yang berada dalam kawasan. 

“JPS Johor akan memastikan tahap keselamatan empangan berada pada keadaan terkawal dan stabil. Sekiranya terdapat sebarang kesan atau kerosakan struktur, tindakan segera akan diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 4.1 skala Richter dikesan pada 6.13 pagi di Segamat, disusuli gegaran lemah kedua berukuran 2.8 skala Richter di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer dari Barat Laut Kluang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan