AM

Program Biasiswa Maxis 2025 Kini Dibuka

25/08/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Program Biasiswa Maxis 2025 yang direka untuk membantu pelajar berpotensi dalam perjalanan pendidikan tinggi, kini dibuka hingga 12 Sept ini.

Maxis memaklumkan program berkenaan menampilkan komitmen syarikat itu untuk memupuk bakat yang akan menerajui cita-cita digital negara dan membantu bina tenaga kerja yang bersedia untuk kecerdasan buatan (AI).

“Program itu yang sebelum ini hanya terbuka kepada pelajar tahun pertama sarjana muda, kini diperluas bagi pelajar tahun kedua sarjana muda dan pascasarjana berusia antara 18 hingga 23 tahun yang berdaftar di institusi pendidikan tinggi diiktiraf negara. 

“Biasiswa ini menawarkan sokongan kewangan meliputi yuran pengajian dan perbelanjaan sara hidup. Para sarjana juga akan menerima peluang untuk latihan industri dan penempatan kerja di Maxis selepas pengijazahan, tertakluk kepada kriteria akademik dan program,” menurut Maxis dalam kenyataan hari ini. 

Ketua Pegawai Sumber Manusia & Transformasi Maxis Patrick Er berkata sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, Maxis komited untuk memupuk generasi pemimpin masa depan melalui program biasiswa itu. 

Beliau berkata program itu menggabungkan sokongan kewangan yang penting dengan pendedahan industri praktikal untuk membangunkan bakat masa depan negara. 

“Selaras dengan penekanan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) terhadap kesediaan AI, inisiatif ini akan menyediakan para sarjana untuk cemerlang secara profesional dan menjadi penyumbang utama kepada transformasi digital negara kita.

“Ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa ‘Esok Bermula Hari Ini’, kerana kami memperkasakan bakat muda Malaysia untuk membentuk masa depan digital negara,” katanya dalam kenyataan sama. 

Maxis memaklumkan program berkenaan terus mengutamakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan disiplin berkaitan yang kritikal untuk transformasi digital Malaysia.

Bidang pengajian yang layak termasuk Kejuruteraan (Rangkaian, Telekomunikasi, Perisian, Mekanikal, Elektrik, Elektronik); Teknologi (Kecerdasan Buatan, Pengkomputeran Awan, Sains Komputer, Keselamatan Siber, Sains Data, Teknologi Maklumat); Matematik, Statistik, atau Sains Aktuari; dan Perakaunan, Kewangan, atau Ekonomi.

“Sehingga kini, Maxis telah menyokong 349 pelajar melalui program biasiswa,” menurut kenyataan itu. 

Untuk kriteria kelayakan penuh, langkah permohonan dan maklumat terkini, pemohon boleh layari https://www.maxis.com.my/en/about-maxis/career/maxis-scholarship-programme/

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan