AM

Akhbar Berita Harian 31 Ogos 1957 Naskhah Ulung Rakam Sejarah Kemerdekaan Negara

24/08/2025 09:51 AM

Oleh Nur Syuhada Yusof

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- “MERDEKA!”, itulah perkataan keramat yang terpampang besar di dada akhbar Berita Harian bertarikh Sabtu, 31 Ogos 1957 yang cukup menggambarkan perasaan gembira dan bangga rakyat Tanah Melayu ketika itu, meraikan hari bersejarah tanah air bebas daripada cengkaman penjajah.

Di bawahnya tercatat ayat ringkas tetapi penuh makna dalam ejaan Melayu lama: “Tepat pada tengah malam seluroh raayat bertempek Malaya sudah merdeka!”, cukup menjadikannya sebagai naskah yang sangat bernilai kerana merakam detik-detik sejarah lahirnya Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Pengarah Bahagian Pengembangan Arkib Negara Malaysia Siti Hawiyah Manan berkata kini selepas lebih enam dekad, naskah asal yang berusia 68 tahun itu masih utuh dalam simpanan Arkib Negara, bukan hanya sekadar helaian kertas usang, tetapi menyimpan catatan penting sejarah negara.

Beliau berkata akhbar itu yang diterbitkan dalam tulisan rumi oleh Straits Time Press, menjadi antara akhbar terawal yang dicetak dan diterbitkan menyiarkan pengisytiharan kemerdekaan dengan memaparkan laporan detik penuh bersejarah ketika Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan "Merdeka!" sebanyak tujuh kali di Dataran Merdeka.

“Ini bahan penting yang menjadi rujukan penyelidik. Ia bukan sekadar berita, tetapi dokumen sejarah yang membekalkan maklumat kontekstual seperti suasana, cuaca, warna pakaian tokoh dan mood rakyat pada hari itu.

“Menariknya, masih wujud perbincangan tentang warna sebenar pakaian Tunku Abdul Rahman dalam gambar ini (dada akhbar) dan kereta yang dinaiki beliau semasa perarakan di Padang Hilir, Melaka.  

“Ada yang menyebut berwarna ungu dan ini menunjukkan nilai penting sejarah lisan dalam melengkapkan naratif dokumentari negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wisma Warisan Arkib Negara di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata naskhah asal berukuran 592 milimeter x 420 milimeter itu telah diawet dan dijilid rapi oleh Arkib Negara, menggunakan kaedah konservasi sebagai usaha pemeliharaan warisan dokumentasi negara menggunakan lapisan tisu khas dan papan nipis, bagi mengekalkan ketahanan bahan daripada pelupusan semula jadi.

Siti Hawiyah berkata selain akhbar cetakan malam kemerdekaan 31 Ogos 1957,  laporan berita mengenai suasana hujan pada pagi 1 Sept 1957 semasa sambutan kemerdekaan di Stadium Merdeka, turut menghidupkan lagi gambaran suasana hari pertama negara sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

“Suasana itu juga dikira fakta dan fakta seperti ini jarang dicatat dalam fail rasmi kerajaan, namun wujud dalam liputan akhbar serta ingatan rakyat yang hadir pada hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata dengan saiz cetakan yang besar dan huruf yang disusun secara manual oleh mesin cetak lama, naskhah akhbar lama seperti ini mencerminkan zaman, teknologi, serta semangat kental wartawan yang mendokumentasi detik demi detik tanpa kelengahan.

“Tanpa teknologi kita boleh bayangkan wartawan zaman dulu sangat teliti. Mereka catat semua, daripada jadual program hingga butiran suasana.

“Inilah kekayaan maklumat yang jarang digali oleh penyelidik moden, yang kini lebih tertumpu pada topik besar seperti darurat atau komunis,” katanya sambil menyeru para penyelidik yang berminat untuk membuat kajian khusus ke atas naskhah berkenaan.

Arkib Negara kini  mempunyai 33,955 koleksi akhbar dan majalah sebelum dan pascamerdeka daripada pelbagai agensi berita antaranya Beria Harian, Malay Mail dan The Straits Time.

Selain itu, dalam usaha meluaskan jaringan pemeliharaan sejarah, Siti Hawiyah berkata Arkib Negara kini sedang mengenal pasti dan menghimpunkan komuniti “Anak Merdeka”  yang lahir pada 31 Ogos 1957.

“Mereka yang lahir pada tarikh keramat itu kini berusia 68 tahun dan menjadi simbol hidup kepada permulaan sebuah negara merdeka. Kita sedang mengumpul nama dan lokasi mereka, tanpa mengira negeri, bagi memperkukuh data sejarah sosial,” katanya.

Inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menambah metadata demografi, malah membina hubungan intergenerasi antara warisan dan masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan