EKONOMI

Fadillah Ketuai Delegasi Malaysia Ke APEC EMM15, Ketengahkan Sasaran Sifar Bersih 2050, Kerjasama Tenaga Serantau

24/08/2025 05:34 PM

Daripada Harizah Hanim Mohamed

BUSAN, 24 Ogos (Bernama) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC (APEC EMM15) di Busan, Korea mengetengahkan aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 dan menggariskan peranan negara dalam kerjasama tenaga serantau.

Dalam lawatan rasmi dari 27 hingga 29 Ogos, Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan mengetengahkan aspirasi Malaysia itu melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Penyertaan Malaysia pada APEC EMM15 juga akan memperkukuh imej Malaysia sebagai rakan strategik serantau dalam kerjasama tenaga serta destinasi pelaburan hijau yang bersih, mampan dan bernilai tinggi.

APEC EMM15 dijangka menarik lebih 100 peserta terdiri daripada menteri tenaga, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin industri tenaga dari seluruh ekonomi APEC, dengan tema “Accelerating Sustainable, Affordable, Reliable, Secure and Innovative Energy for a Prosperous Future.” 

Hasil mesyuarat akan dimuktamadkan melalui satu Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Tenaga APEC (JMS).

Selain menghadiri APEC EMM15, Fadillah akan menyertai dialog meja bulat semasa 16th Clean Energy Ministerial (CEM16), 10th Mission Innovation Ministerial (MI-10) dan 2025 World Climate Industry EXPO (WCE).

Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Korea Selatan, Hong Kong, China, New Zealand dan Brunei bagi memperluas jaringan kerjasama dalam bidang tenaga, khususnya yang menyokong agenda peralihan tenaga negara. 

Sebagai sebahagian daripada program rasmi itu, Fadillah juga akan mengadakan lawatan kerja ke Korea Hydro and Nuclear Power (KHNP) – Saeul Nuclear Power Plant dan Doosan Enerbility bagi meneroka peluang kerjasama dua hala dalam aspek latihan, pemindahan teknologi dan pendedahan teknikal berkaitan operasi loji jana kuasa tenaga nuklear.

Lawatan rasmi ini diakhiri dengan kunjungan ke Gangbyeon Wastewater Treatment Plant sebuah fasiliti rawatan air kumbahan di Busan. 

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Malaysia merupakan rakan dagang dan destinasi eksport ke-11 terbesar Korea Selatan pada Januari-Julai 2025.

Perdagangan dua hala bernilai US$15.69 bilion, dengan eksport Korea Selatan ke Malaysia meningkat 15.2 peratus tahun ke tahun kepada US$6.91 bilion.(US$1=RM4.22). 

Eksport Malaysia ke Korea Selatan berjumlah US$8.77 bilion, naik 12.9 peratus daripada tempoh sama pada 2024. 

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah US$24.42 bilion pada 2024.

Selain perdagangan tenaga tradisional, Malaysia dan Korea Selatan meningkatkan kerjasama dalam pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), terutamanya melalui projek Shepherd CCS. 

Inisiatif itu akan memerangkap karbon dioksida (CO₂) daripada kompleks perindustrian Korea Selatan, menggabungkannya di hab domestik dan membawanya ke Malaysia untuk penyimpanan.

Peserta utama Korea termasuklah SK Energy, SK Earthon, Samsung Engineering, Samsung Heavy Industries, Lotte Chemical, GS Energy, Korea National Oil Corporation, Hanwha Corporation dan Air Liquide Korea. Petronas menerajui bagi pihak Malaysia, disokong oleh Shell Gas and Power Developments B.V. 

Projek ini bertujuan mewujudkan rantaian nilai CCS yang lengkap antara kedua-dua negara.

Korea Selatan menyasarkan untuk memerangkap dan menyimpan 4.8 juta tan CO₂ setahun menjelang 2030, menjadikan Malaysia sebagai hab utama CCS di rantau Asia Pasifik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan