AM

Pelbagai Aktiviti Menarik Sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan Peringkat Perak

14/08/2025 11:40 PM

IPOH, 14 Ogos (Bernama) -- Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perak yang akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini esok.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata majlis yang berlangsung selama sehari bermula 3 petang itu akan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada sebelah malam.

Beliau berkata antara aktiviti dan program yang akan diadakan adalah pameran serta perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, Program Jualan Rahmah, jualan kopi dan pastri, pertandingan e-sukan serta pertandingan busana anak merdeka daripada kanak-kanak Tabika KEMAS.

"Para pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan oleh artis terkemuka tanah air iaitu Zamani Slam serta beberapa artis tempatan lain," katanya pada sidang media selepas sesi temu bual bersama radio PerakFM hari ini.

Beliau berkata pengunjung yang bertuah akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah yang disediakan pihak penganjur.

Mohd Azlan berkata Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan kali ini akan diserikan dengan kehadiran Pentarama Merdeka@HOHO dengan pelbagai elemen pendidikan dan semangat cintakan negara menerusi aktiviti yang akan diadakan seperti kuiz, sesi penerangan serta publisiti Hari Kebangsaan.

Beliau berkata dengan kerjasama strategik bersama Perak Transit, Pentarama Merdeka@HOHO itu juga akan menelusuri kawasan di sekitar Ipoh dan berhenti di beberapa hentian untuk mendekati masyarakat tempatan.

"Usaha ini adalah sebahagian daripada pelan publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di bawah Kementerian Komunikasi.

"Kami mengalu-alukan kehadiran semua warga Perak untuk memeriahkan majlis yang diadakan pada Jumaat ini sebagai menunjukkan sokongan kepada negara dan menyemarakkan semangat cintakan tanah air," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan