PELABUHAN KLANG, 14 Ogos (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Menara Dius Api (MDA) Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia di sini hari ini.
Ketibaan Sultan Sharafuddin pada kira-kira 11.10 pagi disambut Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Pengarah Laut Datuk Dickson Dollah.
Loke dalam sembah ucapannya berkata menara 12 tingkat itu dilengkapi Pusat Kawalan Trafik Vessel (VTS) yang mematuhi piawaian antarabangsa International Association of Marine Aids to Navigation and Lighthouse Authorities (IALA).
Beliau berkata VTS Jabatan Laut Malaysia yang baharu dan memfokuskan kawalan di perairan Selat Melaka itu, bukan sahaja mematuhi piawaian antarabangsa IALA, malah agensi terbabit juga berperanan aktif dalam membentuk piawaian berkenaan pada peringkat global.
"Dalam konteks keselamatan maritim, peranan pusat kawalan VTS yang dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia di menara ini amatlah kritikal dan tidak boleh dipandang ringan.
"Pusat VTS itu memantau secara langsung (live) pergerakan ribuan kapal setiap hari. Ia memberikan maklumat navigasi dan amaran awal mengenai potensi bahaya," katanya.
Loke berkata Selat Melaka antara laluan perkapalan tersibuk di dunia dengan purata 200 kapal setiap hari termasuk kapal tangki minyak gergasi, kapal kargo kontena dan pelbagai jenis kapal dagang lain yang membawa kira-kira satu perlima daripada jumlah perdagangan global.
Justeru, keberadaan dan kecekapan operasi VTS menjadi benteng utama dalam mencegah perlanggaran kapal, menguruskan situasi kecemasan maritim seperti tumpahan minyak atau kapal terkandas, dan memastikan aliran perdagangan maritim berjalan lancar serta selamat.
"Tanpa sistem VTS yang cekap dan moden, risiko kemalangan di laut akan meningkat dengan ketara sekali gus boleh menjejaskan ekonomi negara, mencemarkan alam sekitar serta mengancam nyawa," katanya.
MDA Jabatan Laut Malaysia memulakan pembinaan pada 1 Dis 2017 dengan menggunakan peruntukan di bawah Tabung Amanah Lembaga Dius Api (Akta 250-Federation Light Dues Act 1953) sebanyak RM93.68 juta dan siap sepenuhnya pada 2021 sebelum memulakan operasi secara rasmi pada 2024.
Bangunan itu yang direka bentuk berkonsepkan ciri kapal persiaran bagi menggambarkan identiti Jabatan Laut Malaysia sebagai peneraju utama sektor maritim di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial