AM

Bidaan Nombor Pendaftaran ‘SIS’ Dibuka Esok

14/08/2025 12:11 PM

SHAH ALAM, 14 Ogos (Bernama) -- Orang awam yang berhasrat memiliki nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks 'SIS' yang bermaksud 'Sultan Idris Shah' boleh membuat bidaan bermula esok.

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, bidaan NPI SIS dibuka sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Sultan Selangor Sultan Idris Shah pada Disember ini dan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan baginda tahun hadapan.

Nombor pendaftaran istimewa itu ditawarkan Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara bidaan dalam talian Sistem JPJeBid.

“Bidaan kepada orang awam berdasarkan ketetapan berikut, iaitu tarikh buka bermula 15 Ogos (Jumaat), manakala tutup pada 10 malam, 19 Ogos (Selasa).

"Tarikh bagi keputusan bidaan pula pada 20 Ogos depan (Rabu)," menurut hantaran itu.

Kaedah penawaran secara bidaan itu tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid, manakala harga bidaan mengikut harga minima ditetapkan JPJ.

JPJ satu-satunya entiti yang akan menguruskan penjualan NPI itu dan tiada pihak ketiga terlibat dalam proses berkaitan.

Sebahagian hasil jualan bakal disalurkan kepada sebuah yayasan di bawah naungan Sultan Selangor untuk kegunaan aktiviti kebajikan termasuk biasiswa serta dana kecemasan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Menurut hantaran itu, yayasan berkenaan kelak bakal dipengerusikan oleh Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim dan akan diuruskan tertakluk kepada prosedur serta tadbir urus yang telus. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan